“MENOKTAHKAN KEMISKINAN DIMENSI RAMADHAN”

“MENOKTAHKAN KEMISKINAN DIMENSI RAMADHAN”
Muhamad Hanapi b. Jamaludin
Pengarah Pengasas Benevolent Malaysia
hanapidarwis@gmail.com

Isu kemiskinan adalah malar. Orang yang tidak pernah merasai miskin, dapur kosong tak berasap sahaja tidak merasa terpanggil untuk berbantuan bersama mana-mana sahaja tangan yang mahu kotor berkumuh mengangkat derita orang miskin.

Mengambil ruh Ramadhan yang menghampiri semalam dan hari ini kita telah memasukinya, Benevolent Malaysia mengelolakan wacana membahaskan tajuk “Menoktahkan Kemiskinan, Dimensi Ramadhan”. Bulan yang di dalamnya laksana manusia ditaburi segala emas kebajikan, terbuka pintu kebaikan seperti udara yang dihela, setiap saat adalah ganjaran amal jika dimanfaat semaksimal.

Kemiskinan adalah bidang yang mendapat bidikan sarjana, ahli falsafah, moralis, humanis, ulama dan pejuang keadilan zaman berzaman. Ia laksana larian baton, selagi nafas belum padam, akan ada yang sanggup meneruskan larian. Boleh ditimbang kata-kata berikut ;

“An imbalance between rich and poor is the oldest and most fatal ailment of all republics” – Plutarch, Greek historian

Kemiskinan jika tidak diuruskan, ditangani dengan sepenuh daya usaha akan memberi ancaman terhadap ketenteraman, menggandakan tekanan dan mencipta keadaan tidak selamat terhadap warga masyarakat hatta terhadap sebilangan orang kaya yang menguasai modal. Bukankah ancaman jenayah dan Gerakan revolusi selama ini berindukkan kemiskinan?
“Poverty is the parent of revolution and crime.” — Aristotle, Greek philosopher

Pekerjaan meningkatkan darjah kemuliaan insan (karamah insaniyyah) samada di pihak jasmani dan rohani adalah kerjaya terbuka, tiada “carreer pathway” sepanjang hayat. Semua manusia memikul beban tugas ini tidak terkecuali, selagi waktu belum berhenti.

Istimewanya di pihak jasmani, sehinggakan turun naik darjah rohaninya itu dipengaruhi kuat oleh kedudukan ekonomi. Betapa kesan kemiskinan ini turut berkuasa mempengaruhi kestabilan ‘kepercayaan’ dalam maksud ini, iman. Orang boleh keluar dan masuk iman hanya kerana untuk makan.

Perspektif Surah al-Maun

‘Sepak mula’ gelanggang wacana semalam membawakan perspektif Surah al-Ma’un. Tiada sebaik bulan yang dihadiahkan kepada manusia untuk berdampingan dengan al-Quran seperti layaknya bulan Ramadhan. Satu daripada surah yang memperingkatkan kita tentang kisah yang berkaitan terdapat dalam al-Maun.

Allah SWT merakamkan sebilangan golongan yang mereka itu berpakaian sebagai orang yang mahu membela agama, tetapi pada hakikatnya memperalatkan ia guna untuk mengaut keuntungan yang disangka haqnya, tetapi nyata telah ditipu daya. Mereka itulah orang yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim dan tidak menggalakkan malah menghalang-halang, memperolok, mempersenda jalan usaha untuk memberi kemudahan, makan dan membela nasib orang miskin. Segolongan begini datangnya daripada ahli sembahyang, yang mereka itu bukanlah yang berada dalam kumpulan yang sering diposisikan sebagai kumpulan lawan Islamis seperti liberalis, sekularis. Mereka berada dalam rangkaian yang sujud dan rukuk, tetapi acap gagal dan tidak berupaya merekayasan polisi, dasar, tatakelola yang dapat membela, menjawab dan mengangkat darjah kaum memerlukan ini.

Surah ini diturunkan ketika Nabi Muhammad SAW, berhadapan dengan para pemuka Makkah yang terdiri daripada para pembesar yang menjadi sumbu kepada kebejatan akhlak masyarakat. Mereka mithalnya Abu Jahal, Abu Lahab adalah ‘agamawan’ tertinggi, mereka menjadi penguasa Kaabah, bahkan lebih daripada itu, sumber ekonomi mereka bergantung kepada ritual agama yang ditokok tambah untuk faedah mereka. Demikian seperti yang diulas oleh Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, Arba Foundation yang menjadi seorang daripada panel.

Tidak syak, pesan al-Quran yang malar ini jadi peringatan kepada kita bahawa, memang terdapat sebilangan yang terlupa pada zahirnya mereka berjuang menyambut suara orang miskin, pada batinnya mereka hanya mengatasnamakan golongan itu untuk mempertahankan kecurangan mereka.

Di tangan pembesar yang tidak kompeten, ditopang oleh agamawan curang yang tidak berkeahlian memimpin, derita kaum miskin terus berpanjangan.

Teori – Polisi – Praktis

Belanjawan 2023 memperuntukkan 388.1 bilion ringgit dengan 289.1 bilion ringgit untuk belanja mengurus, 99 bilion ringgit bagi belanja pembangunan dan termasuk 2 bilion ringgit simpanan luar jangka. Keyakinan untuk membentangkan belanjawan dengan angka ini selaras analisis Bank Dunia dan Fitch menganggarkan pertumbuhan KDNK negara tahun ini diunjur pada kadar 4 peratus mengambil kira tinjauan ekonomi global yang mencabar.

Komitmen kerajaan untuk ‘menoktahkan kemiskinan tegar’ dalam belanjawan kali ini dizahirkan melalui komitmen Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan. Beliau dalam forum lain, menyebutkan tempoh masa berkenaan adalah pada tahun ini. Suatu kesanggupan bertanggungjawab dan memikul implikasinya.

Daripada sudut teori, kita membaca dan mengetahui tentang sifar asnaf yang pernah dicapai di zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, ia bergantung kepada bagaimana penerapan tatakelola, kerja itqan yang dapat menjawab gerang suara kaum mutadháfin, sehingga derita mereka dijawab dan tiada lagi yang berhajatkan bantuan. Ia pernah berlaku, dan pasti boleh berlaku dengan kemahuan yang tinggi.
Kerajaan telah memulai, menumpukan perhatian terhadap golongan 40% terbawah yang mana golongan miskin terhimpun dalamnya. Teliti apa yang telah didokumenkan, dibenamkan dalam dasar dan dokumen polisi negara (guiding document), Belanjawan 2023. Teks berkenaan dirujuk :

“Poin 27 – Jabatan Perangkaan melaporkan kumpulan 20 teratas (T20) menguasai 47 peratus atau hampir separuh jumlah pendapatan isi rumah. Dari sudut tabungan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kumpulan T20 memiliki 80 peratus daripada keseluruhan jumlah simpanan KWSP.

Poin 28 – Mengambil kira pendapatan dan kekayaan negara yang tertumpu kepada kumpulan atasan atau golongan elit mahakaya, adalah wajar agihan hasil negara ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah dan menengah”

Di sini sahaja bukti zahir bahawa kekayaan negara, jaminan keselamatan sosial, kedaulatan kewangan itu banyak direbut oleh masyarakat 20% tertinggi, manakala keadaan rentan, rapuh, terancam itu dideritai kaum miskin. Sedangkan merekalah sumber daya manusia terbanyak, yang paling tinggi dimanipulasi untuk mengekalkan kekayaan elit ekonomi, manakala merekalah paling berisiko berada pada tekanan emosi, mental dan kecenderungan untuk menghukum diri. Kita layangkan pandang membaca sejumlah 13.4 peratus kanak-kanak dan remaja di PPR Lembah Klang mempunyai kecenderungan membunuh diri dan mencederakan diri sendiri akibat tekanan hidup dialami. Ia dapatan kajian oleh Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF). Kita tidak pasti berapakah sejumlah angka penuh daripada 13.4 %, entahkan berjutaan menerima kesannya.

Sungguh, miskin mereka adalah miskin cita-cita kita jika masih berdiam memerhati, tiada kesanggupan pada membela dan mengangkat wajah mereka layak menikmati sinaran matahari yang ceria saksama.

Perlawanan Zaman

Perjuangan menghadapi kemiskinan dan penindasan usianya lebih tua daripada tamaddun ini. Setiap zaman akan ada dua kutub yang sering dilihat bertentangan. Mereka ialah elit masyarakat yang menyombongkan diri (al-Mustakbirun) dan kelompok masyarakat lemah dalam konteks semasa diistilah golongan rentan (al-Mustad’afun). Rasulullah SAW berhempas pulas menggerakkan usaha pemberdayaan golongan ini. Seolah-olah pemberdayaan dan pemerkasaan mereka menjadi tema sentral misi samawi. Bahkan dalam misi baginda ke Ta’if turut menyebut Tuhannya dengan panggilan Tuhan orang-orang yang lemah ‘Rabbul ‘I-Mustad’afin.

Begitu istimewanya kelompok ini dalam pandangan Allah SWT, maka baginda sendiri tanpa segan silu memposisikan dirinya di kalangan kaum Mustad’afun sebagaimana dalam salah satu doanya yang bermaksud : “Ya Allah! Hidupkanlah aku sebagai orang miskin, matikanlah aku sebagai orang miskin dan himpunkanlah aku di Mahsyar nanti di dalam kelompok orang-orang miskin… (HR al-Hakim dalam al-Mustadrak). Hadith ini ada syarahannya, jangan dibaca dan ditelan secara harfiah, ia menganjurkan kita untuk berusaha keras sehabis daya, menjadi kaya dan membela kaum lemah yang fakir miskin terdapat di dalamnya.

Di Barat, gerakan menjawab soal penindasan, diskriminasi dan penentangan terhadap arus utama yang pada premis asasnya dianggap sebagai alat yang mengekalkan kitaran kemiskinan dalam sistem yang sengaja dicipta. Gerakan ini disekutukan sebagai kiri. Dipacu faham sebagai mithal komunisme oleh Karl Marx yang bereaksi secara radikal dan revolusioner. Idea Marx ini sudah pasti berseberangan dengan faham Islam atau pandangan alam tawhid. Falsafah dialektika materialisme Marx bertolak daripada ‘sejarah pertentangan kelas’ dan ‘teori konflik’.

Berbeza dengan akar metafizik kita yang dikawal oleh wahyu melalui akhlak dalam bermuamalat untuk menghindari konflik. Justeru, yang perlu kita betuli ialah sikap manusia itu terhadap kepemilikan, bukan penghapusan institusi yang disifatkan memelihara kepentingan kapitalisme yang secara rasmi dilihat sebagai lisan pemerintah seperti agama, sekolah dan institusi awam lain.

Harus iktiraf bahawa perlawanan mengangkat wajah golongan lemah ini akan terus berlanjutan sehinggalah sejarah tamat dan pementasannya dilabuhkan. Di Malaysia, yang masyarakatnya hidup bersendikan asas tauhid, akhlak, budi dan nilai timur, senaifnya gerakan menoktahkan kemiskinan disokong, tanpa syarat. Itulah senaifnya kerja yang termampu untuk menyelamatkan lebih ramai jiwa yang semakin remuk. Ramadhan ini adalah jendela dan pintu untuk kita masuk.

“Kehidupan rohani sangat dipengaruhi oleh kedudukan ekonomi”.

Soal perut bukanlah kecil untuk kita kompromi. Jika tidak mampu menangani kelaparan massa, janganlah menghalangi mereka untuk mendapat haknya sebatas manusia atau menyindir atau menghalangi orang yang berusaha meratakan hak kepada yang sepatutnya.

Dimajukan suatu dimensi untuk pertimbangan, Ramadhan kita rayakan sebagai bulan kebersamaan, sahur, bersungkai dan berqiyam, tadarus dan moreh, lapar dan dahaga bersama. Kita luaskan, supaya menjangkau juga pada meladeni amanah berat, menyerakkan kelebihan wang, kekayaan emas bertahil dan perak suasa kepada warga ummat sedapatnya.

Kitalah yang mahu merebut-rebut menjadi tangan yang memberi seperti mana sabdaan Nabi shallallâhu ‘alaihi wa sallam: اَلْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنَ الْيَدِ السُّفْلَى (tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah).

Ramadhan ini pintu masuk menoktahkan kemiskinan tegar, jendela pertama menukikkan mata kepada kaum miskin, agar pandangan jatuh ke korong dapur mereka dan tangan sudi sama merengkuh.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *