Kata Aluan & Sekapur Sirih

Sekapur Sirih Pengerusi

Jufitri Bin Joha

Benevolent Malaysia atau Malaysia Pemurah merupakan suatu inisiatif pasca gerakan belia bagi meneruskan usaha berbakti kepada belia dan komuniti bukan sahaja di Malaysia bahkan ke seantero dunia.

Benevolent berpaksikan gerakan sosial akar umbi, bernuansakan pendidikan informal dan bermodelkan keusahawanan sosial (social enterprise) bagi memastikan kemampanannya untuk terus menyumbang khidmat bakti kepada penghakupayaan belia dan pendayaupayaan komuniti agar mereka menjadi masyarakat yang mandiri dan tercerah serta bebas daripada kemiskinan multi-dimensi merangkumi kemiskinan jiwa dan harta.

Melahirkan belia dan komuniti yang berjiwa dan berminda merdeka merupakan cita-cita besar dan agenda nombor wahid Benevolent selaras dengan apa yang disifatkan oleh Almarhum Dato’ Dr. Siddiq Fadzil sebagai mesej liberatif-emansipatif sebagaimana yang terkandung dalam ajaran agama Islam.

Benevolent juga memfokuskan kepada kekuatannya dalam bidang pembangunan belia & komuniti; kepimpinan & kepengikutan; dan profesionalisme kesukarelawanan & pertubuhan masyarakat madani (NGO) bagi menyumbang ke arah Malaysia yang lebih makmur dan generasi masa hadapan yang lebih berdaya tahan.

Saya menyeru kepada seluruh belia dan komuniti Malaysia agar mendokong gerakan massa ini sebagai salah satu medium penting bagi menjana perubahan dan pengislahan negara ke arah Malaysia Madani.

 

Firman ﷲ Taala :

 

إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ ۚ وَمَا تَوْفِيقِي إِلَّا بِاللَّـهِ ۚ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْهِ أُنِيبُ

Ertinya: Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.

Menurut Imam al-Baydhawi menjelaskan, ayat (إِنْ أُرِيدُ إِلَّا الْإِصْلَاحَ مَا اسْتَطَعْتُ), apa yang aku inginkan adalah mengislahkan kamu semua dalam perkara makruf (kebaikan) dan mencegah kamu semua dari perkara mungkar dengan sedaya upaya yang aku miliki.

Semoga segala usaha kita diberkati dan menjadi saham besar di akhirat.

Sekapur Sirih Pengasas

Muhamad Hanapi Bin Jamaludin

“Wherever you stand, be the soul of that place” – Jalaludin al-Rumi

Apa yang kita cari dalam hidup yang sementara ini adalah ‘makna’. Jika tidak menemuinya di mana-mana, jadilah diri itu pertama dahulu yang memberikan makna kepada setiap apa yang dikerja.

Adalah dorongan ini kami memulai dan sentiasa akan jalani. “A joy of giving”. Kami melihat dengan cara berbeza bagaimana untuk menikmati hidup. Dengan memberi dan berbahagi. Melalui cara begini kita dapat mengisi hidup dengan makna-makna.

Benevolent Malaysia bermula dengan mimpi yang sederhana, untuk hidup memberi. Sebagai khalifah, inilah persembahan yang selayaknya diberikan kepada ummah. Sebagai manusia, inilah hantaran untuk dihadiah kepada masyarakat yang telah menumpangkan kita dengan budi dan jasa.

Hasrat kami menukangi usaha biarpun sekecil menjadi batu-bata untuk membangunkan Malaysia yang Pemurah. Kami berusaha mewujudkan ekosistem keusahawanan sosial sebagai kitaran yang menyokong kegiatan sosial dan kebajikan untuk sama memberi dan berkongsi.

Terlalu ramai di luar yang berhajatkan pembelaan, yang mahukan wajah mereka diangkat, suara mereka dijawab. Sebagai manusia, tugas kita yang malar adalah supaya mengangkat darjah kemuliaan insan pada tempat yang selayaknya. Benevolent Malaysia juga berusaha dalam mimpi yang panjang menjadi alat diplomasi budaya atau kuasa lunak untuk menebarkan hegemoni Malaysia sebagai negara Madani yang dihormati.

Marilah bersama kami melanjutkan cita-cita ini, mengisi hidup yang satu ini dengan semangat yang telah dinyalakan obornya oleh para budiman sepanjang zaman.