Lama sudah tidak memperuntuk waktu merenung dan menumpahkan pada kegiatan karang-mengarang. Pelaburannya tidak sedikit. Mengarang adalah bekerja untuk keabadian seperti kata Pak Pram. Tidak mungkin keabadian tulus berhasil diciptakan dengan tanpa taruhan. Justeru, waktu dan tenaga mental harus dikerah.
Untuk kali ini serasa teruja untuk menetapkan disiplin menghasilkan pandangan yang tersirat dibalik yang tersurat mengenai Belanjawan 2026.
Rancangan raya (grand design) kerajaan perpaduan yang tertuang dalam gagasan Malaysia Madani jelas bermisi menjadikan Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan maju.
Pada kes lepas (precedental case) semua kerajaan yang naik akan memperhiaskan penampilan mereka dengan retorik dan slogan. Satu Malaysia ke arah menciptakan satu bangsa yang bersatu padu, saling hormat. Kemakmuran Bersama bermaksud memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat mengecapi taraf hidup wajar atau “decent standard of living”. Penciptaan negara bangsa (nation-state) turut disertakan selepas kali pertama diselipkan dalam dokumen Wawasan 2020.
Kerajaan perpaduan yang terbentuk melalui eksperimen mencantumkan tiga ketumbukan parti yang berwarna warni idelogi – PKR dengan pendekatan muslim demokratik dan secular pragmatism, DAP dengan secular socialism and democratic dan UMNO Malay Conservatism mengemukakan gagasan ”Malaysia Madani” sebagai tawaran menguji kejelekitan.
Mana-mana kerajaan yang naik akan berusaha (daya usaha keras atau perlahan sahaja membeza-i) untuk melimpahkan kemakmuran kepada rakyat. Samada diiringi kejujuran untuk berbudi kepada rakyat serata-rata dan persembahan amanah untuk ditunai kepada Tuhan Pemilik Semesta atau matlamat sebagai manusia politik (political animal) untuk mengekalkan kuasa lagi dan lagi.
Kami merujuk apa yang dirakam dalam gagasan Malaysia Madani sebagai dokumen pemandu (guiding documents) pemanduan kerajaan. Masih dengan teks piawai untuk menciptakan negara yang berdaya saing dengan pembangunan berteraskan nilai. Secara tekstual lengkap, bahagian pengenalan dokumen berkenaan mengujarkan ;
”Malaysia MADANI merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat”
Kata kunci yang mahu kami garisterangi adalah istilah ’manusiawi’. Kami tidak akan melebihkan satu daripada yang lain jika tidak selayaknya. Maksud untuk mengangkat ekonomi negara kepada berpendapatan tinggi itu matlamat piawai mana-mana kerajaan yang naik. Malah, janji bulan dan bintang lebih daripada itu lagi.
Namun, untuk kerajaan dengan dokumen Madani penulis tertarik dengan komitmen manusiawi. Ia adalah rentetan hampir separuh abad YAB PM sendiri sejak zaman belia membawakan wacana ”counter narrative” terhadap apa yang telah pegun di arus perdana.
Dalam ehwal ekonomi, Anwar Ibrahim komited terhadap gagasan ekonomi berteras rakyat atau ekonomi manusiawi atau ekonomi moral yang bernilai ihsan. Kekayaan materi dan pendapatan bukan tujuan tertinggi, tetapi kekayaan yang dapat diratakan (distributive wealth) kepada seluruh rakyat, bukan monopoli tiga, empat kerat elit berpengaruh. Dengan kata lain, kekayaan ekonomi adalah untuk mencapai keseimbangan rohani dan jasmani dan dapat dikembali untuk faedah insani.
Penulis adalah simpatisan ”Pak Syeikh”. Percaya bahawa dalam diri beliau terlibat semua ‘bakat’ dan ’syarat’ untuk menjadi pemimpin. Tidak sekadar al-Qawwiy dan al-Amin. Tetapi, sebagai perubah dan pengutuh dimensi insan (human transformer) dan pembina budaya (cultural builder). Anwar Ibrahim terbukti secara tindakan bukan retorik lisan telah menjelmakan budaya tandingan (counter culture) di kampus-kampus pada tahun 70-an dengan membawa budaya damai, dialog dan islam. Ketika era itu, Naib Canselor di Universiti Malaya pun masih lagi kaum kolonial, walaupun Malaysia telah sedekad merdeka. Budaya berparti, ladies night adalah biasa di hujung-hujung semester. Beliau tampilkan usrah dan pada garis tebal perbezaan beliau jambatani dengan keberanian berdialog. Sesuatu yang hampir tidak ada kepada kumpulan terpaling Islam dan terpaling Melayu. Pada mereka, perbezaan adalah lawan Islam dan lawan status quo, ekstremis dan cauvinis, titik tengah sehingga membuahkan ”taayush” hampir tiada dalam kamus kumpulan ’kanan jauh’ ketika itu. Anwar sudah tentu tidak membinanya sendiri. Beliau bersama barisan ”golden generation” mengemukakan ABIM dan PBMUM sebagai wahana bergerak dalam dan luar kampus.
Bahagian ini sengaja disorot. Kerana penjelmaan mimpi tidak terkecapi tanpa seorang aktor atau wira yang mengepalai. Saya bukanlah pengiktiraf beliau yang mengharapkan pulangan. Tiada projek, tiada faedah, tiada imbalan yang saya dapati semenjak menyedari kewibawaan beliau hingga kini. Namun, itu tidak membatasi untuk beradab dengan seorang yang berbakat. Penulis percaya, manifestasi kepimpinan beradab itu satunya adalah memastikan sesuatu tepat pada tempatnya. Adil meletakkan, adab memastikan seorang manusia yang dikurnia Allah bakat yang mendahului sehimpunan manusia lain seberapa hasta ke hadapan berada pada kedudukan tepat untuk melangsungkan peranannya dengan berkesan. Beliau terutama di antara yang utama dan pertama di antara manusia yang Allah kirimkan di atas bumi Malaysia.
Konsistensi Anwar Ibrahim terhadap idea sistem ekonomi yang tidak memeras dan mengutamakan rakyat dikhutbahkan sejak beliau memimpin aktivisme belia. Setibanya di puncak kuasa, masa menjagakan mimpi. Walaupun pada tahun-tahun awal pemerintahannya ia seperti payah untuk dilaksana dengan pelbagai bagasi ”hoi-hoi ya hoi” berkawan dengan penyamun yang sebelumnya dibalun. Kini semakin nampak cahaya dihujung terowong.
Ekonomi ihsan atau ekonomi moral atau ekonomi manusiawi adalah korpus ilmu ekonomi secara perbandingan dilihat sebagai kiri. Penulis pernah memajukan tema dan tajuk ini dalam forum kelolaan Ungku Aziz Center (UAC), Universiti Malaya pada 13 Ogos 2024.
Tema ini penulis minati untuk ketahui lebih, tetapi tiadalah ahli.
Apakah asas model alternatif ini? Ekonomi berpaksi nilai, bukan untung semata sebagai ukuran jaya. Pelbagai versi nama model ini antaranya ; ekonomi kebahagiaan, ekonomi ihsan, tetapi yang popular ekonomi manusiawi (human economy). Meratakan kekayaan, mengedarkan keadilan kepada seluruh kelas masyarakat bukan dominasi satu kumpulan pemodal semata adalah tujuannya.
Gerakan ini secara spiritual adalah menepati semangat ekonomi Islam, matlamat untung bukan terutama, selain memakmur alam dengan adil saksama. Mengagihkan sumber yang sebetulnya tidak terhad untuk keperluan yang terhad yang telah diputarbalikkan oleh prakarsa Barat. Rujuk definisi ekonomi ini yang dinukil oleh Prof. Emeritus Dr Shaharir Md Zain ketika menganalisis aksiom kepimpinan Almarhum Nik Aziz, beliau mengeluarkan terkaan (conjecture) mengenai prakarsa definisi ekonomi sebenar. Takrif Nik Aziz cukup berbeza dengan sarjana ekonomi Barat. Ekonomi ialah menguruskan sumber-sumber yang tidak terhad untuk keperluan yang juga tidak terhad, tetapi ditangan pengurusan yang menyeleweng, ia menjadi sangat terhad (monopoli kekayaan contohnya)
Dalam takrif asas, ekonomi ialah disiplin ilmu menguruskan sumber-sumber yang terhad untuk keperluan yang tidak terhad.
Ekonomi tandingan ini berpaksi nilai, tidak untung semata sebagai ukuran. Meratakan kekayaan, mengedarkan keadilan kepada seluruh kelas masyarakat bukan dominasi satu kumpulan pemodal sahaja.
Gerakan ini secara spiritual adalah menepati semangat ekonomi Islam, matlamat untung bukan terutama, selain memakmur alam dan menyebarkan kekayaan (distributive wealth) dengan adil saksama. Ia dimotori nilai insani bukan haywani yang hanya bermatlamat jangka pendek (shorttermism).
Cukup kita bahaskan perihal definisi. Soal seterusnya, di mana dalam Belanjawan 2026 yang dapat mengabsahkan kita di landasan tepat untuk menuju matlamat ekonomi manusiawi ini? Kami cuba hendap yang dapat dikesan.
Bantuan Sosial dan Kesejahteraan Rakyat
Belanjawan ini memperkukuh bantuan sosioekonomi sebagai usaha melindungi rakyat miskin dan golongan rentan. Termasuklah faedah besar hasil kejayaan cemerlang badan penguatkuasa (SPRM, PDRM) yang telah berjaya memperoleh hasil rampasan wang negara dan penalti hampir RM15.5 bilion sejak pentadbiran MADANI. Ini adalah duit rakyat yang ’dicuri’ atau dilarikan atau ditanamkan dalam kantung seorang atau beberapa orang manusia, sedangkan faedahnya itu jika dicairkan akan memberi pulangan kepada jutaan rakyat. Lebih banyak bantuan manusiawi yang dapat diedarkan.
Antara reformasi institusi yang menyumbang kepada penjimatan besar yang dapat dikembalikan langsung-langsung kepada rakyat termasuklah ;
Pengapungan harga ayam dan telur – masing-masing menjimatkan RM1 bilion setiap satu sambil menstabilkan harga pasaran.
Penstrukturan tarif elektrik dan penyasaran subsidi tenaga – menjimatkan RM6 bilion, dengan 85 peratus pengguna tidak terkesan dan sebahagian menikmati penurunan bil.
Penyasaran subsidi diesel – menjimatkan RM5 bilion, sambil memastikan sektor pengangkutan awam, nelayan dan logistik kekal menerima harga subsidi.
Penyasaran RON95 melalui BUDI95 – dijangka menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion setahun. Melalui BUDI95, lebih 10 juta rakyat kini menikmati harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter, antara yang terendah di rantau ini. Rakyat adalah pemegang saham terbesar yag menerima faedah daripada belanjawan berasaskan keutamaan rakyat ini.
Semangat Belanjawan Rakyat ini turut dizahirkan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bernilai RM15 bilion kepada lebih 9 juta penerima. Penerima STR akan menerima SARA bulanan RM100, manakala penerima e-Kasih layak menerima sehingga RM200 sebulan; isi rumah berpendapatan rendah dengan lima anak boleh menerima jumlah bantuan sehingga RM4,600 setahun. Langkah penyasaran subsidi ini biasa berlaku untuk kerajaan sebelum ini. Jadi tiada yang berbeza, cuma kali ini, angka dan penerimanya lebih tinggi dan luas. Pendekatan ini adalah penterjemahan prinsip ihsan sosial.
Kesenjangan pembangunan turut dirapati dengan tumpuan terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak. Indiktor perataan kekayaan ditangkap melalui peruntukan pembangunan persekutuan tertinggi dalam sejarah yang mana peruntukan untuk Sabah meningkat kepada RM6.9 bilion dan Sarawak kepada RM6 bilion. Turut ditingkatkan ialah kadar pemberian khas di bawah MA63 ditingkatkan kepada RM600 juta. Trans Borneo (LTB).
Gerak lebih deras terhadap ekonomi manusiawi diperhatikan oleh pengumuman kerajaan akan memberi pendidikan percuma kepada 5,800 anak daripada keluarga miskin yang melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun menerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sudah tentu rakyat yang sinis akan membandingkan manifesto penghapusan PTPTN dan pendidikan percuma menyeluruh. Namun, ini hanyalah permulaan dalam tiga tahun pemerintahan sudah mengecapi kejayaan ini, pastilah menggembirakan rakyat miskin yang terbeban untuk membiayai pendidikan tinggi anak-anak mereka.
Perkembangan dua hari sebelum pembentangan Belanjawan 2026 juga menarik untuk mengabsahkan ekonomi manusiawi sedang dikerahkan keras untuk direalisasi. Dewan Rakyat pada 08 Oktober 2025 meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025 yang memansuhkan penggunaan kadar sama rata dan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap.
Memberi isyarat bahawa selepas ini kaedah kiraan baki hutang oleh bank untuk pembelian kenderaan akan lebih adil dan mengutamakan keuntungan kepada pembeli (rakyat). Sebelum ini di bawah Peraturan 78, bayaran bulanan lebih banyak didahulukan untuk memotong kos bunga (interest/profit), bukan pokok pinjaman. Ia menjadikan para peminjam tidak mendapat kelebihan dengan membuat bayaran awal kerana yang ditolak adalah faedah “front-loaded” di awal tempoh.
Dengan kaedah baru iaitu effective interest rate dan reducing balance, bayaran oleh peminjam akan benar-benar mengurangkan baki hutang, bukan sekadar bayar keuntungan bank.
Komitmen ini sudah tentu didorong dasar kerajaan yang melorong kepada kebajikan rakyat sebagai penerima faedah terbesar. Banyak keputusan yang berlangsung menunjukkan kita sedang menuju kepada matlamat pembaharuan total terhadap sistem ekonomi yang berpaksi ihsan dan insan.
Namun, walau bagaimana kuat tekad seorang nakhoda pengemudi pelayaran ini, ia tidak akan dapat dicapai tanpa kesepakatan bersama seluruh anggota daripada kelasi sampai kepada penumpang. Dalam ucapan Perdana Menteri di Persidangan Antarabangsa mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam, 20 Februari 2024 beliau menggesa ahli akademik, institusi kewangan dan badan kawal selia untuk bekerjasama dalam merealisasikan visi masa depan dan ekonomi manusiawi yang mampan. Kerjasama berkenaan perlu disertai dengan komitmen ‘ummah’ dan usaha bersama untuk membantu merealisasikan visi ini demi masa depan yang lebih baik. Ahli akademik perlu terus menerajui bidang ilmu, menyelaraskan dimensi teori dan etika ekonomi Islam serta membangunkan pelaksanaan yang praktikal sejajar prinsip teras MADANI.
Walaupun semangatnya menggetar dan kita teruja menyaksikan kelangsungan tahun-tahun yang mengujakan, keberhasilan ekonomi manusiawi bergantung kepada pelaksanaan dan tindak balas pasaran. Antara yang diramalkan dapat merintangi keberhasilan model baharu ini ialah konflik kepentingan dikalangan elite capture. Mereka yang telah menguasai pasaran berpuluh tahun, memegang lingkaran pasaran daripada pengeluaran kepada penyampaian dan membolot kekayaan melalui charge pada setiap proses akan pasti memprotes. Potensi sabotaj ekonomi boleh terjadi apabila sektor strategik yang kuat masih dikuasai taikun tidak dapat menerima reformasi yang sedang mara. Manakala, risiko bias dalam kitaran sistem yang masih dicengkam kuat oleh para taikun tetap ada, disamping jika budaya rasuah dan rompakan wang peruntukan untuk faedah rakyat dijalankan di tengah terang. Ini jelas menjadi perintang terutama.
Seterusnya yang kemungkinan dijangka ialah wujudnya ketegangan antara pertumbuhan vs kesejahteraan. Kesinisan bahawa desakan ekonomi tinggi memaksa kompromi terhadap subsidi atau perlindungan sosial. Maka, kumpulan pelaksana mengganggap model ekonomi manusiawi hanyalah mimpi di siang hari atau utopia politisi. Namun, kami sangatlah yakin, tekad bulat dan kerja keras oleh Pak Syeikh akan dihargai dan simpatisan daripada kalangan kumpulan pelaksana akan sederap menyertai usaha terpuji ini. Belanjawan 2026 adalah langkah konkrit ke arah mengotakan mimpi menuju dimensi baharu ekonomi, yang lebih manusiawi.