ZA’BA : PENDIDIK SEPANJANG HAYAT

“Tetapi Za’ba betul-betul meletakkan jejaknya di pantai zaman – marilah kita beramai-ramai mengenal rupa jejak itu sebelum pasang surut lautan sejarah memadamnya”

(Ungku Aziz, Jejak-jejak di Pantai Zaman)


Akankah didapatkan sebuah tulisan dapat menumpahkan seluruh gelora perasaan? Tidak. Tahun ini genap separuh abad Za’ba meninggalkan tanah air dan rakyat yang dijuangkannya hampir seluruh usia (m. 1973).


Kita harus iktiraf, peradaban yang kita warisi ini masihlah muda usianya jika dihitung dengan segala barisan tamaddun gergasi yang muncul di dunia.


Wilayah Mashriq mithalnya yang terdiri daripada Levant dan Mesopotamia. Kawasan ini ditumbuhi kebudayaan besar yang menjadi rebutan bersilih ganti kekuasaan Assryia, Babylon, Parsi, Macedonia (Greece), Rom dan Monggol. Atau kebudayaan yang muncul memagari China dengan tembok besarnya bermula di sepanjang Sungai Kuning (Hwang Ho).


Di sana lahir ahli fikir, moralis sebagai Confucius dan Laozi (Lao Tze) atau di Lembah Indus dengan tamaddun India yang penuh mistik dengan buah tangan Kitab Veda dan pelbagai lagi ciptaan kebudayaan Arya Dharma.


Peradaban kita juga tidak meninggalkan barisan tokoh daripada zaman purba yang dapat dikenang selain wira-wira yang berselubung dengan pelbagai mitos seperti tersurat dalam hikayat-hikayat lama. Tidak melahirkan para awliya dan anbiya atau manusia-manusia besar yang dapat dikenal dengan karangan dan catatan seperti Hedorotus, Iskandar Zulkarnain, Socrates, Plato, Aristotle.


Pun begitu, setelah masuk dan berkembangnya sistem bahasa dan tulisan secara sistematik, barulah dapat kita menghargai kemuliaan peradaban kita yang kukuh, dipenuhi kearifan watan yang bertanda dalam kelasnya. Sungguhpun kehidupan kuno dan usang yang lama diusung peradaban ini tidak lagi boleh dipertahankan untuk merempuh zaman moden.


Kesedaran untuk berangkat keluar daripada kehidupan rimba dan dipenuhi kepercayaan karut dan mitos yang membawa kita ketinggalan dipicit dan diperah penjajah untuk bangkit menyertai dalam perlumbaan dan persaingan dan kemaraan yang memajukan perasaan-perasaan baharu itu mulai dipukul gendangnya oleh Za’ba.


Setidaknya di awal abad ke – 20, atau tahun 1916, Za’ba mulai menulis beberapa rencana yang menyanggah belenggu ini. Pada tahun 1917 beliau masuk bertempur menggodam iktiqad terpasung yang menghambat pertumbuhan watan. Za’ba melaberak akar punca kemunduran dan kejatuhan kaum muslimin. Temuan (dapatan) – nya ialah “pendangkalan ‘itiqad” atau “fikiran terpasung” yang terperangkap dalam kepercayaan serong kesan ketunggalan dan kebersihan agamanya yang telah dilumuri daki dan cemar tahyul, dongeng dan kepercayaan karut lainnya.


Za’ba menemui soal pendidikan sebagai pintu keluar. Banyak untuk dituliskan dalam rencana sekerat dan dipersiapkan dalam tempoh kurang satu jam ini, tetapi tidak memadai tanpa menukil petikan di bawah ;

“Saya tidak percaya kedudukan Kaum Islam seluruh dunia boleh menjadi betul jika mereka memberatkan pelajaran sepihak dunia sahaja atau sepihak agama sahaja seperti yang sudah-sudah dengan tidak disatukan antara kedua pihak itu bersama sekali dengan seberapa dalamnya yang boleh pada keduanya (Za’ba, Lembaga Melayu 6.6.1917)”


Dan ini,


“Maka segala punca sekalian jalan-jalan ini (mencari kemajuan) tidak syak lagi ialah pengetahuan dan pelajaran dan di atas asas-asas inilah dibina bangunan-bangunan lain dan daripada inilah diterbitkan persenjataan dan kelengkapan bagi membantu jalan-jalan yang lain atau cawangan-cawangan…. (Za’ba, Lembaga Melayu, 6.6.1917)”


Ia ditulis pada usianya yang baru sepenggalah cuma (22 tahun). Penafian beliau yang berani sekali di sana menunjukkan Za’ba telah thabit dengan keyakinan bahawa beliau telah masak merenung ke urat akar yang menggalang pertumbuhan kemajuan anak peribumi ini bahawa pendidikan dengan jenis yang betul adalah ubatnya.


Za’ba adalah pendidik sejati. Beliau menumpahkan seluruh usahanya mencerdaskan bangsa. Darihal bahasa mereka yang miskin, ia tampil memperkayakan. Sastera mereka yang dipenuhi hikayat dongeng, beliau saring dan sunting dan majukan sastera yang mengangkat perasaan yang maju. Masalah moral turut ditumpukan dengan mendasar. Beliau ulas sifat keperangaian yang menghambat kemaraan zaman dan memajukan sifat perangai yang mulia yang tinggi hemat dan cita-cita serta sentiasa mahu berkeledar dengan daya usaha sendiri.


Manakala, ketika seluruh negara menumpukan usahaja menoktahkan kemiskinan, Za’ba pada 100 tahun dahulu atau seabad telah mulai memukul gendang mencurai paparkan peri kemiskinan serba serbi (multidimensional poverty). Dengan bertanggungjawab pula beliau menemukan jalan keluarnya.


Bermula November 1923 (100 tahun dahulu), Za’ba meluncurkan penanya sebagai membalas rencana “Ä Civic Sense” yang ditulis pengarang sebelum itu dalam akhbar Malay Mail. Rencana Za’ba ditulis sebanyak 5 siri terhimpun dalam dua tajuk ‘The Poverty of the Malays’ dan ‘The Salvation of the Malays”. Karangan beliau inilah telah dihitung oleh Ungku Aziz sebagai karangan asli pertama yang menulis tentang kemiskinan peribumi sehinggakan Pak Ungku menamakan Za’ba sebagai “Pengarang tertua ekonomi Melayu”.


Apa yang menarik sangat karangan berkenaan? Ungku Aziz menyebutkan makalah “terlalu baik mutunya”. Pengarang Malay Mail pula menyatakan bahawa, buat pertama kalinya kekecualian dibuat, rencana Za’ba itu diterbitkan sebagai lidah pengarang (editorial) dengan tidak diedit sedikit pun isinya. Za’ba dinilai sebagai “Rara Avis”(sejenis burung langka yang jarang muncul walaupun dipikat dengan umpan jerat terlicik”.


Demikian Za’ba dihitung. Usahanya berteriak kemiskinan peribumi tidak bersahaja. Beliau datangi dengan segala jalan keluarnya. Darihal iklim yang membaluti hama kepemalasan sampai kepada sikap yang membentuk watak (sosiogenic factors) yang boleh diubah dengan menempa perasaan-perasaan baharu yang berkehendak kemajuan dan bercita-cita terpuji. Za’ba menempatkan suaranya di mana-mana Sahaja corong pembaharuan.


Namun, di mana suara beliau kini? Apakah kita akan menyaksikan apa yang dilukiskan oleh Pak Ungku sebagai di bawah ;


“Dengan takdir Allah, makalah yang dicipta oleh seorang manusia yang terdorong oleh perasaan murni telah menjadi terbenam di pasir zaman. Karya itu seperti logam bernilai besar, tinggal-lah di situ sehingga dikorek dan dibersihkan supaya boleh dimasak, dilebur dan diedarkan ke alam fikiran manusia. Fikiran-fikiran terbenam itu boleh pula dibandingkan dengan fikiran lain yang cetek dan ringan, tetapi lebat tumbuhnya di atas bumi seperti lalang. Dan lalang itu sentiasa melambai-lambai orang yang lalu di situ mengikut haluan angin yang meniupnya. Sekejap ke Barat dan sekejap ke Timur”


Dengan usia peradaban kita yang muda, pengabaian terhadap sarjana, geligawan bangsa adalah jenayah peradaban yang paling tidak boleh diterima. Kegagalan beradab dengan tokoh dalam maksud meletakkan seorang yang wibawa duduk pada tempatnya yang tepat hanyalah manifestasi keruntuhan adab. Walhasil, para pemimpin palsu dan tokoh-tokoh belonan yang tiada sangat jasanya selain meniupkan api sentimen tanpa isi yang lazat dijamah untuk pertumbuhan kemajuan dan kemaraan yang baik-baik dan mulia-mulia akan muncul di permukaan dan menjadi panutan palsu.


“To me a man’s value is only estimated by the grandeur of his ideas and his achievements as influencing the thought and destinies of mankind for good, not by the grandeur of his‘ titles ’or by his own estimate of himself. The kind of greatness that, I always admire is that of the enduring and imperishable type, undetectable from its owner even by his death” (Za’ba)


Justeru, di hari yang bersejarah ini usaha Kementerian Pengajian Tinggi menganugerahkan Za’ba sebagai Pendidik Sepanjang Hayat amatlah bertepatan untuk mengangkat citra wira dan guru bangsa sebenar.


02 Oktober 2024. Kertas dibentangkan kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, untuk mewajarkan Za’ba sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademia Sepanjang Hayat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *