FALSAFAH DAN CITA-CITA SEKOLAH ALAM

Muhamad Hanapi b. Jamaludin
Presiden Benevolent Malaysia
hanapidarwis@gmail.com

 

 

1. Pengenalan
Kertas ringkas ini memuatkan pernyataan spiritual tentang gagasan, model, pendekatan dan pengoperasian Sekolah Alam. Ianya adalah produk kejuruteraan sosial di bawah organisasi Benevolent Malaysia melalui agensi Kalam Budi Sdn. Bhd.
Sebagai aktivis, kami memaknai diri sebagai pendidik tidak rasmi (informal educator). Adalah menjadi tanggungjawab moral kami untuk turut bersama menyediakan persekitaran dan ruang pembelajaran yang menyokong pertumbuhan anak-anak bukan sahaja memenuhi fakulti kecerdasan intelektual (IQ) tetapi juga kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan sosial/spiritual (SQ).
Sekolah Alam dibangunkan atas kesedaran menawarkan pendidikan pelengkap kepada anak-anak untuk menghadapi persekitaran masa depan dinamik dan tidak terduga (unthought futures) yang sedang kita tempuhi kini.
2. Garis Besar
Kami bertolak daripada kerangka falsafah yang memandu gagasan ini. Falsafah daripada definisinya ialah kajian mengenai hakikat zat sesuatu (being as being). Tumpuannya terarah kepada mencari penyebab utama (first principles) kewujudan sesuatu. Kedudukannya terletak di pertengahan antara teologi dan sains. Ia bersifat konseptual, lebih daripada faktual. Tidak sekadar pemerhatian, tetapi melibatkan perenungan (contemplation).
Kita bawakan ke tengah perenungan mengenai gagasan falsafah Sekolah Alam yang kami karyakan ini untuk mencapai misi asasi pendidikan sebagai pengutuhan dimensi keinsanan.
3. Pernyataan Konseptual
Sekolah Alam adalah model pendidikan yang tercicir masani. Kami mengutip dan menggubahnya kembali sebagai model alternatif pendidikan sesuai tujuan hakikinya untuk menciptakan al-Insan al-Kulliy (insan dengan cita sempurna).
Ia adalah proses ta’dibi dengan alam sebagai guru, madrasah sekaligus bilik darjah dan matapelajaran, manakala kegembiraan, keterujaan dan permainan sebagai mod penyampaiannya.
Pendidikan sebagai proses penempaan nilai, watak dan adab akan tersasar tanpa memacu kegembiraan anak-anak. Mereka bukanlah produk tanpa ruhi yang boleh ditempa dengan paksaan tanpa pelayanan yang sesuai dengan bawaan tabii mereka dalam proses tumbesaran ini sebagai alam permainan.
Kami anjurkan pendidikan dengan suasana alami, apresiatif yang menginsafi betapa bernilai alam sebagai ‘hiburan yang menggembirakan jauh mengatasi gajet dan kegembiraan buatan’, hutan sebagai “pasaraya” atau “mall” juga sebagai “perpustakaan” yang di dalamnya terhimpun pelbagai rahsia penciptaan dan hubungannya dengan kehidupan.
Ini menuntun jiwa kepada ketundukan dan mendorong asa mengasah daya inovatif untuk berkarya.
Anak-anak disuntik rasa tanggungjawab dalam dhamir mereka agar memelihara alam dan isi huniannya sebagai kerajaan kecil (Kingdom in Miniature) setara memelihara kerajaan ekonomi dan industri yang lebih-lebih diberatkan hari ini sebagai satu ukuran kejayaan pendidikan.
4. Sekolah Masa Hadapan
Perkembangan wacana ilmu harus melibatkan proses kritikan dan pengajuan. Dengan kritikan adalah tindakan koreksi terhadap sistem yang telah pegun dan beku, manakala pengajuan adalah saran untuk melengkapi atau menambah nilai pada subjek yang dikritisi.
Banyak ditemui kritikan yang berlangsung di lapangan pendidikan akan kelompangan sistem yang berjalan. Tiada cita sempurna untuk produk karya manusia. Ia terdedah tambah tolak daripada sudut mana seorang memusatkan perenungan. Dalam perihal model pendidikan ditemui beberapa ajuan mengenai model sekolah masa hadapan yang sampai kepada indera kami. Ia secara tidak langsungnya adalah kritik balas terhadap sistem pendidikan perdana.
Pertamanya yang kami temui ialah Sekolah Bakat yang dipraksai oleh Ainon Business School, berpengkalan di Sepang, Selangor. Ia telah tertegak dan berlangsung dengan jayanya. Keduanya, Sekolah Hutan dicitakan operasinya di Hulu Langat oleh para aktivis alam sekitar. Manakala, Sekolah Nomad adalah model yang diterajui oleh Dewdemy Academy.
Satu daripadanya kami cukup dekat, dua daripadanya kami terlibat tukangi dengan modal kecil yang ada – keberanian bermimpi. Manakala, dengan kesedaran itu kami layarkan cita dan hasrat menegakkan batu-bata pembangunan model lainnya iaitu Sekolah Alam sebagai tawaran. Idea ini bermula dengan alamraya sebagai premisnya. Manakala, secara konsep pelaksanaan ia dilakar sebagai kegiatan mengisi waktu cuti sekolah anak-anak.
Di mana titik tolak idea ini dirumuskan ketika segelombang besar masih di arus utama? Ialah kesedaran dhamir tentang perubahan. Sifat sesuatu berubah. Jika tidak revolusi, oleh evolusi. Zaman bergilir, persekitaran dinamik mempengaruhi mood pelajar. Mereka mahu ruang yang lepas.
Rata-rata anak golongan urban sejak lahir telah hidup di ruang tertutup. Bandar yang rata-rata didiami majoriti kelas pekerja/buruh/proletariat atau golongan yang lebih tinggi kelas sosial daripada mereka pun tidak lepas daripada cengkaman ‘kehidupan dalam kotak’. Tanah telah sangat mahal, kemampuan memiliki hartanah hanya berkuasa oleh sebilangan kecil para kapitalis pemilik modal-modal besar.
Anak-anak berhutang jiwa kepada tanah dan alam. Bumi mereka telah banyak dicederai urbanisasi menggila. Jadi, bila tawaran menikmati pembelajaran dengan konsep bebas dan lepas ia sebagai menebus hutang mereka menikmati udara pembelajaran yang luas sentosa.
Para pengasas sekolah model ini adalah Social Innovator. Memikul beban rekayasa masyarakat menghadapi kemaraan masa depan.
Gajet telah merempuh masuk ke bangunan sekolah dan universiti. Dilaporkan bahawa 72% pelajar lepasan sekolah tidak minat menyambung pengajian di gedung berbatu. Mereka boleh menikmatinya melalui “street learning/digital learning” dengan hanya mendaftar masuk dalam akaun-akaun media sosial dan mula mengakses laman seperti Youtube dengan pelbagai kelas tutorial percuma. Ia contoh paling mudahnya untuk difaham.
Ia walaupun memintas dengan cepat proses pengetahuan IQ dipindahkan daripada pembekal kandungan kepada pelanggan, namun secara halus dan seni dan pertimbangan adab dan ilmi, ianya adalah fenomena tidak sihat. Pelajaran bukan sahaja untuk memenuhi kapasiti aqal, tetapi akhlak. Pendidikan secara berguru perlu. Ia proses utama memindahkan adab (ta’dib). Sebagai pendidik (educator) termasuk para aktivis sebagai pendidik tidak rasmi (informal educator), anak-anak adalah pelanggan. Manakala, kita perlu menjual produk yang dapat menangkap kedinamikan pertumbuhan mereka yg telah begitu VUCA.
Sekolah-sekolah masa depan seperti yang disebutkan di atas belum mendapat tempat sempurna. Namun, mendengar keterujaan penggerak mereka kami optimis. Perlahan tetapi pasti, ia akan menjadi pilihan yang bukan lagi alternatif.
Manusia moden akan mula membayar hutang mereka terhadap ketertutupan hidup menuju kebebasan menikmati pendidikan di lapangan terbentang. Alam takambang adalah guru.
5. Bagaimana Sekolah Alam Beroperasi?
Sekolah Alam itu sederhana. Pembelajaran berlangsung di lapangan bumi sebagai bilik darjah, langit jadi bumbung, dan pohon-pohon sebagai dinding. Lalu lintas burung, bahasa pohon, angin, bulan, bintang, awan, sahut bersahut ungka dan kera, gerak gerik cuaca, peralihan waktu dan gejala yang tertangkap oleh pancaindera adalah matapelajaran. Peribahasa, petatah petitih, ayat-ayat kawniyah (tentang alam) ditadabbur di medan nyata.
Manakala, di setengah tempat yang menumbuhkan peribadi hebat, anak-anak dibawa melayari bahasa dan duri perjuangan tokoh semithal Buya Hamka, Za’ba, Burhanuddin al-Hilmi, Aminuddin Baki, Maarof Zakari dan ramai lagi. Istimewanya di mana? Di ranah menyimpan sejarah mereka samada tempat lahir, berjuang, terbilang atau terbuang.
Aktiviti spiritual melalui hafazan, muraja’ah al-Quran, iktibar hadith semua terkandung dalamnya.
Setengah tempat, kami membawakan seni – puisi – budaya – adat – tari dan silat kepada anak-anak. Seni dan agama tidaklah diceraikan. Seni menjadikan agama dihidupi. Imam Syafie mengarang karya seni dengan syairnya, Jalaluddin al-Rumi dengan tarian darwis dan syair sufinya.
Permainan tradisional di laman rumah. Contohnya tarik upih, baling tin, main tingting dan mandi sungai atau jeram adalah aktiviti yang menyeronokkan sesuai pertumbuhan jiwa anak-anak yang gemarkan keriangan.
Banyak lagi. Ia hanya cubaan untuk mengisi ranah pendidikan yang dicicirkan. Di dunia yang kita baca laporan mengenai climate change, kita merasa betapa mendesaknya alam ini diurus oleh produk pendidikan yang terang mata batinnya untuk memakmurkan ia sesuai suruh tegahan Pencipta.
Kami turunkan di sini kandungan silibus pendidikan alternatif dan masa depan yang kami bangunkan dalam wadah ini ialah ;
– Sains tauhidik
– Kearifan watan
– Kepimpinan Nusantara
– Sejarah tempatan
– Permainan tradisional
– Tadabbur alam
– Seni dan budaya
– Kelestarian bumi
– Terapi hutan (forest therapy)
Pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) berasaskan empat elemen ;
– keriangan (excitement)
– permainan (gamefication)
– Sentuhan buat (Hands on)
– luar dewan kelas (outdoor).
Sampel kes aktiviti yang bakal dijalankan dapat dilukiskan sebagai berikut. Belajar dengan melihat fenomena alami seperti bagaimana munculnya peribahasa ‘bagai aur dengan tebing’? Kami bawakan para peserta ke medan nyata, di lapangan yang menumpangkan gejala itu tumbuh. Melihat dengan inderawi sejahtera bagaimana terbitnya peribahasa ini dan mengaitkan maknanya yang cuba dimaksudkan daripada pembayang ”Aur dan Tebing”. Ternyata, saling mengikat dan bersandar keduanya. Tanpa aur tebing runtuh, tanpa tebing aur tak tumbuh.
Menangkap gejala alam yang padanya terdapat ‘tanda-tanda (ayatullah)’ kebesaran Allah. Daripada gejala yg terakam itulah para saintis/sarjana kuno menciptakan prototype teknologi sebelum menjadi sangat kompleks hari ini. Contoh mithalnya ialah burung terbang yang masyhur diceritakan sebagai asbab penciptaan kapal terbang oleh adik beradik Wright (Wright Brothers.)
Tentang tanggungjawab manusia sebagai Khalifah memakmur bumi, tema-tema kelestarian yang menjadi tumpuan para korporat dan badan-badan dunia untuk mengurangkan kesan masa depan ekstrem yang dihadapi manusia moden kesan pembangunan bumi yang tidak seimbang. Semuanya dijahit dan disulam dalam sentuhan kegembiraan.

6. Kemenjadian yang Diharapkan?
Kami cuba renungkan untuk menjawab apa yang akan diperdapatkan oleh anak-anak yang masuk menyertai ’sekolah’ ini?
Hipotesis abstrak kami adalah sebagai berikut “Siapa yang lebih banyak hayatnya menghadapi alam (hutan), lebih tajam inderawinya memandang kehidupan.”.
Alam ini adalah buku terbentang. Kita masuk ke dalamnya untuk mendapatkan pelajaran. Ia memang sebaik-baik teknologi, manakala teknologi itulah peniruan sehabis-habis produk alami.
Di tengah kekolotan (kemajuan industri adalah keterbelakangan) warga berhadapan cuaca esktrem, kos hidup tinggi, kemiskinan, hutang piutang yang membawa tekanan mental, kemurungan dan lesu upaya (burnout), di mana mereka mahu lari? Anak-anak resah, alam buatan tidak membawa mereka kepada makna-makna hidup yang malar dilekatkan pada alam. Mereka terlepas menikmati tanda-tanda yang mengandungi getaran spiritual sebagai yang dirakamkan Tuhan, bahawa alam itu adalah tanda-tanda kebesaran Tuhan.
Alam raya telah dikotak katik. Kecantikan buatan kehilangan pesona tabii (disenchantment).
Kecantikan alami dimilikperibadi oleh pemilik industri untuk mereka sembunyi. Jika dibuka kepada awam, harganya lebih mahal daripada yang dianugerah Tuhan.
Manakala yang tinggal telah banyak lulur dan luluh oleh ketidaklestarian pembangunan. Jadilah kadar ketekananan memuncak, hilang kawalan yang membawa pembunuhan dan kematian.
Oleh pemerhatian, kami insafi betapa beralasannya alam itu sebagai terapi. Kaedah ‘membumi’ atau grounding/earthing sangat pantas untuk membalikkan manusia kepada keadaan aman. Dengan memijak tanah, mengutip batu, mencium harum bunga, melankolik bunyi mergastwa, bunyi katak dan kumbang, benteng hijau daan biru semesta samudera, elus-elus pasir putih dan angin yang berpuput semua itu jauh lebih merawat daripada harga ubat-ubatan, hotel temewah dan segala jenis keseronokan buat beli bahagia yang ada di atas muka bumi ini.
Tanggalkan alas kaki, lepaskan indera bersentuhan dengan tanah ia memindahkan segala beban dan tekanan daripada kepala bersemadi di bumi. Sentuh pohon, rasai bermandian hutan itu membantu kembalikan semangat yang hilang dan perhatian semula pulih.
Ini kami akan bimbing sepenuhnya dengan panduan autoritatif daripada sumber Qurani, sains dan kearifan watan (local wisdom) kita sendiri yang mengadung sains peribumi, sesuai ilmu asli yang tumbuh daripada alam buminya.
Istimewa kita hendaklah memelihara pusaka alam ini ialah ia membekali ‘kehidupan yang seimbang’. Puas dicari sehingga bermacam model SDG, ESG rupanya ia ada dalam bentuknya yang asli.
Kajian manfaat hutan terhadap manusia membuktikan bahawa tubuh merembeskan hormon serotonin yang menghantar pesan (neutrotransmiter). Ia berupaya membantu mood dan mencegah depresi atau atau secara ringkasnya, merangsang perasaan gembira.
Ada orang gembira dengan makan, atau dengan kegembiraan buatan. Manakala, yang lebih asli dan azali ialah melalui karya Tuhan, melalui alam sebagai ayatnya yang tanzil.
Siapa yang lebih banyak inderanya menghadapi alam, lebih tumbuh dan teguh jiwa menempuh silih bergantinya ujian kehidupan.
Ini yang kita harapkan dapat dirangkul oleh anak-anak, mereka yang bakal mendaftar sebagai pelajar di madrasah ”Alam terbentang jadikan guru”. Mereka kita sandarkan impian agar menjadi insan adabi yang membangun dan memakmur bumi dengan ilmu, iman dan budi.

 
”Sekolah Alam, Sekolah Kehidupan”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *