Muhamad Hanapi b. Jamaludin
hanapidarwis@gmail.com
Kebangkitan Arab (Arab Spring) bermula 2011 dengan teori dominonya dilihat rata-rata oleh pemerhati sebagai gagal. Bagi penulis cabuk ini, ia tidak gagal, tetapi belum benar menang selama mana sistem yang curang masih dibenarkan. Kanta para pemerhati yang merasakan ia gagal juga dapat disorot benar salahnya. Fenomena kebangkitan Arab walaupun menumbangkan seorang diktator di beberapa negara, tidak pun berhasil menamatkan keperitan dihadapi rakyat, lebih buruk akan melahirkan seorang diktator baharu.
Di Mesir rakyat berhasil membuang Diktator Mubarak, Muhammad Morsi naik sebagai Presiden yang terpilih secara sah, namun hanya beberapa waktu berkuasa sebelum dirampas al-Sisi, seorang Jeneral Angkatan Tentera yang berpihak kepada rakyat yang turun ke jalanan sebagai protes kelembapan Morsi menangani masalah diwarisi pasca revolusi.
Manakala, Tunisia, tanah yang membenihkan “Arab Spring” juga tidak beruntung. Bermula peristiwa seorang pemuda yang membakar dirinya dengan menyimbah minyak pada 17 Disember 2010 akibat tekanan hidup yang tidak tertampung. Ia membawa maraknya api kemarahan rakyat yang protes di jalanan sehingga berhasil menumbangkan Presiden Zainal Abidin. Rakyat bersabung nyawa, putus hidup dan hilang keluarga, Presiden negara pula kemudian lari mencari perlindungan di Saudi.
Proses demokrasi berlangsung dengan Libya mendapat Presiden baru yang diharapkan dapat menyelesaikan masalah lama. Namun, tiada apa yang dapat diharapkan. Demonstrasi selepas revolusi bersambung pada tahun 2021 sehingga dilaporkan seorang penjaja membakar diri akibat tekanan hidup, mengingat peristiwa yang sama 10 tahun sebelumnya. Sampai hari ini ketegangan masih berlaku di kalangan rakyat marhaen. Keuntungan kepada mereka masih belum tiba.
Di Yaman, Arab Spring yang seperti api marak sampai membakar rakyat ke jalanan memberi tekanan besar kepada Presiden, Ali Abdullah Saleh. Beliau mengalah, pemerintahannya ditamatkan pada tahun 2012. Sehingga kini, Yaman masih belum aman.
Paling tragis, Muammar Ghadafi, singa Arab-Afrika yang memerintah Libya selama 42 tahun, terbunuh di tangan rakyat sendiri. Dengan sumber kekayaan yang ada pada Libya, negara tanpa pemerintahan itu direbut oleh dua pasukan yang mendakwa mereka sebagai pemerintah yang sah dengan campur tangan kuasa-kuasa asing di belakang mereka. Pemerintahan yang didukung PBB dikenal sebagai Government of National Unity/GNU bermarkas di Tripoli, di barat. Saingannya ialah Dewan Perwakilan Rakyat, berpengkalan di timur, di Tobruk.
Ada lagi? Assad jadi manusia diktator terakhir yang terguling dalam rantaian kebangkitan Arab yang tidak dapat menahan amarah rakyat. Beberapa hari lepas, Assad juga tumbang dan sekarang hidup dalam perlindungan dan mengharap ihsan Russia.
Satu ketika, tidak ada sesiapa daripada kalangan simpatisan dan pemerhati yang merasakan rakyat Syria akan dapat menumbangkan manusia terjahat ini. Regim Assad dengan sokongan Russia, Iran nampak mudah mematahkan gerombolan rakyat. Namun, kuasa Allah siapa tahu.
Kebangkitan Arab ini turut memasukcampurkan pandangan dan keberpihakan alim ulama. Antara yang paling diingati, al-Bouti dan al-Qaradhawi yang nampaknya berseberang, seorang memihak establishment, seorang anti-establisment. Dengan hujjah yang kita baca dan hormati pandangan kedua-duanya.
Kini, pasca 14 tahun kebangkitan Arab selepas bermula pada hujung 2010, adakah keadaan rakyat makin memulih dan baik? Kita iktiraf, rakyat berhak merayakan cita-cita mereka menghumban para diktator pembunuh. Rakyat Syria contohnya meraikan di mana-mana dengan tarian ringan dan sujud dan saling bergembira. Mereka menerima kesan terdasyat, hilang kampung dan saudara bertali darah dek zalimnya tindakan Assad yang pernah membunuh rakyat dengan gas, dengan bom dan segala persenjataan moden.
Kita doakan Syria benar-benar akan kembali meraih hak mereka yang telah diperkosa berdekad lama.
Bagaimana dengan yang lain? Libya, Yaman, Tunisia, Mesir dan beberapa negara Arab lain. Isunya, bebanan dihadapi rakyat itu bukan berdasar pada seorang manusia diktator, walaupun itu turut menyumbang banyak. Rakyat bertaruh nyawa menaikkan pemimpin baharu bukan untuk mengekalkan kerosakan sistem yang lama, tetapi merubah ke urat akar sistem yang culas dan membenarkan ekploitasi, penindasan dan diskriminasi positif (konon – yang mempertahankan dasar kerajaan terhadap golongan tertentu). Namun, kebanyakan rakyat negara-negara ini kembali dalam kitaran sama. Melarat dan merana.
Apa rakyat dapat selepas tumbangnya seorang raksasa diktator? Mereka tidak mengharap naiknya pemimpin baru yang mengekalkan cara yang telah kotor dan reput. Tetapi, itu pula bukanlah hal yang mudah. Untuk menggantikan ribuan pegawai kanan yang telah terbenam dalam lumpur budaya dan sistem yang ditanam lama perlukan waktu yang juga lama.
Rakyat selamanya tidak akan beroleh aman dan sejahtera selama mana revolusi tidak merevolusikan dan meruntuhkan segala budaya yang telah terbenam. Hal ini jadinya para penulis dan pemerhati politik menyifatkan kebangkitan Arab adalah gagal. Sebagai mithal, kita dianjurkan baca tulisan Asef Bayat yang membuat telaah terhadap kebangkitan Arab melalui karya “Revolution Without Revolutionaries: Making Sense of the Arab Spring”. Antara argumen beliau yang menonjol kegagalan revolusi (jika dapat dinamakan revolusi) ialaha tiadanya “master idea” yang mengiringi motivasi para demonstran, tiada supremo leader yang bertindak paling hadapan sebagai revolusioner serta beberapa perkara lain. Walhasil revolusi yang berlaku tidak dapat mengubah apa-apa kecuali ‘menu’. Wajah manusia pertama diganti di helaian menu, seperti kita menggantikan wajah pemimpin di dinding.
Manaka, yang lebih besar menjerut yang menggugah ramai manusia daripada seluruh dunia untuk mahu menumbangkan kerajaan ialah, tekanan dasyat akibat ekonomi berteraskan perbankan yang membenarkan hutang menjadi alat industri.
Tekanan yang menciptakan kesenjangan lebar antara taikun-taikun besar membolot harta kekayaan dan orang miskin melarat tak makan. Mereka meminjam daripada bank-bank untuk mengembangkan perniagaan dan memperoleh margin untung besar untuk kembali membayar hutang yang dikenakan bunga tinggi. Pengguna terakhir dikalangan rakyat paling nyata mendapat kesan terjerut dengan harga mahal dan kos hidup tinggi. Ini akan terus mendidihkan kemarahan orang kecil yang akan kembali masuk dalam kitaran menyabung nyawa untuk membuang kerajaan yang mereka rasakan patut bertanggungjawab atas derita mereka. Kelak, ianya tidak mengubah apa-apa selama mana industri ribawi ini tidak direvolusikan bersama revolusionari.