Respon kepada Kebekuan
Sehingga pertengahan abad ke – 20, dunia Barat telah jauh meninggalkan dunia bukan Barat. Bahkan setengah tanah air asing masih terkunci lagi dengan kuku penjajahan. Kesedaran untuk menyemak kembali kebekuan beragama dan kejumudan budaya yang melahirkan tiga serangkai masalah kemunduran, kemiskinan dan kejahilan semakin nyaring. Dunia Islam sebagai tandingan kepada Barat sejak zaman kuno dan klasik tidak ketinggalan memberi respon.
Sejak abad ke – 14, pemikir terbesar yang dilahirkan oleh dunia Islam adalah Ibn-Khaldun. Selepas era beliau, ummat Islam seolahnya telah berhenti ’berfikir’. Jika yang muncul selepasnya adalah pemikir yang tidak mencapai tahap sejagat. Contoh Al-Shatibi (w. 1388), pelopor ilmu Maqasid al-Shariah hanya dimaklumi ketenarannya beberapa darsawarsa ini melalui Ibn Ashur, Yusuf al-Qaradawi, dan Jasser Auda. Menyatakan bahawa Ibn Khaldun sebagai pemikir terakhir Islam yang dilahirkan terbuka kepada perdebatan. Tetapi, keyakinan kami, selepas era beliau, dunia Islam memasuki kemunduran dasyat yang sampai sekarang belum bangkit-bangkit lagi. Ia mulai terbutus di era kebangkitan Islam dipacu ulama tajdid wa islahiy.
Kemunduran ini mula digelisahkan oleh Muhammad Abdul Wahhab (1703–1792) di Jazirah Saudi, Sir Ahmad Khan, Syah Waliyullah di Benua India. Mesir kemudian memainkan peranan aktif selama dua abad setidaknya yang dipacu oleh Jamaludin al-Afghany, Abduh dan rangkaian ulama pembaharu keluaran al-Azhar. Pengaruh Mesir dibawa ke Nusantara oleh Syeikh Tahir Jalaluddin yang bersama dengan Syed Syeikh al-Hadi menubuhkan al-Imam.
Kesedaran awal berkisar persoalan itiqad. Masalah yang ditentang adalah kesalahfahaman memahami taqdir, pandang sarwa terhadap modenisasi dan sains yang prejudis. Ummat Islam rata-rata disengaged dengan wacana modenisasi dan mengingkari sains. Hikmah yang tercirir terus berpanjangan digenggaman lawan, tidak direbut kembali.
Lambat laun tumbuh desakan agar ummat Islam perlu menguasai kelengkapan persenjataan ilmu moden untuk dapat menandingi dan berentap dengan mereka. Kekuatan rohani melalui aqidah Islam adalah tapak. Sains perlu disaring dan diterbitkan semula. Islamisasi ilmu memunculkan kesedaran tawhidic science. Tidak terhenti pada kesedaran, revolusi model dan pendekatan pendidikan dibongkar, difikir ulang dan dibangunkan kembali.
Di sini peranan al-Attas patut benar disorot. Apa yang beliau telah kemukakan seharusnya patut direnung untuk membatasi kebejatan akhlak, keruntuhan moral atau bukan lagi keruntuhan, tetapi jenayah berat yang berlangsung di gedung pendidikan.
Bermula makalahnya “Preliminary Thoughts on the Nature of Knowledge and the Definition and Aims of Education” di Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia di Universiti King Abdul Aziz, Makkah pada tahun 1977, kemudian disusul dengan monograf “the Concept of Eduaction in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education”, al-Attas menemui kembali konsep pendidikan sejati yang telah lama terdampar, terpinggir daripada perhatian para pentadbir pendidikan.
Menurut al-Attas, konsep pendidikan sebenar adalah ”ta’dib” bermaksud penyemaian adab. Ia bertali daripada tradisi nubuwwah seperti dianjurkan langsung oleh Baginda Nabi Muhammad SAW “Addabanī Rabbī fa aḥsana ta’dībi”. Maksudnya : Tuhan telah mendidikku (adabba) dan menjadikan pendidikanku sebaik-baik pendidikan (ta’dīb). Pendidikan adalah proses pemindahan adab daripada guru kepada murid.
Takrif pendidikan itu luas, seluas disiplin pendidikan sebagai korpus yang besar ilmu kemanusiaan (humanity). Penulis tertarik definisi pendidikan adalah proses mengutuh dan memperkukuh dimensi insan untuk menciptakan manusia yang baik dan sempurna (to produce a good and universal man). Ia berlangsung melalui proses penanaman dan pengulangan (instilling and inculcation) nilai dan karakter yang lebih tinggi (adab).
Namun bagaimana jika ia tidak diterapkan pada seluruh sistem?
Melangsungkan model ta’dib ke dalam institusi pendidikan memang akan menempuhi beberapa rintangan. Contoh, kaedah bersuhbah, dalam amalan tarekat. Ianya jelas terapan model ta’dib sejati. Prosesnya berlangsung antara guru dan murid bergaul sebagai sahabat. Pemindahan watak berlaku dengan mendengar syarahan ilmu daripada guru dan menyaksi ia berperilaku dengan ahli keluarga dan sahabat dan masyarakat di luar daripada dewan-dewan kelas.
Seorang guru boleh jadi sebagai pembimbing aqliy yang menguasai medan ilmu, namun di medan akhlak mereka boleh jadi melawani apa yang dibicarakan. Kesannya, watak tidak melekat. Perkataan tidak sejalan dengan perbuatan. Sedangkan, action must speak louder than words. Pelajar yang mendengar dan kemudian melihat mendapat dua maqam keyakinan ; ilm’ al-yaqin dan ’ain al-yaqin. Seperti seorang ayah yang mengajar anak jangan merokok sambil menjinjit dicelah tangannya puntung rokok yang menyala dihujung. Ia membatalkan sama sekali pesan dan kesan kepada penerima (anak sebagai madh’u). Jadi, penting bersahabat dengan guru untuk membenarkan ilmu dengan perilaku. Ahli falsafah Barat terkenal, Herbet Spencer juga konsisten mengaitkan tujuan pendidikan adalah membentuk tindakan (watak) seperti katanya ”The great aim of education is not knowledge but action”. Namun, kaedah suhbah yang lazim dalam tarekat tidak mungkin dapat diterapkan dalam sekolah arus perdana yang berbeza orientasi pengukuran kemenjadian (outcome) pelajar.
Kita tidak mahu membicarakan jauh-jauh lagi soal konseptual yang telah putus dan selesai. Pendidikan yang dijana oleh ta’dib adalah tamthilan aturan kosmos dalam susunan yang tertib. Manusia sebagai alam kecil melaksanakan ketertiban itu bermula dengan pendidikan yang benar. Martabat ilmu (maratib al-Ilm), meletakkan ilmu fardhu ain didahulukan kemudian yang lainnya menyusul. Ta’dib berkenan menguruskan sains yang liar tanpa berpedoman kepada Tuhan kembali pada aturan kosmologi sebagaimana roh manusia yang suci dipersaksikan melalui Firman Allah :
“Alastu birabbikum qalu bala syahidna” (Allah bertanya, “Bukankah Aku Tuhanmu?” Semua diri rohani manusia menjawab, “Sungguh Engkaulah Tuhan kami.” (Al-A’raf, 172)
Di peringkat idea telah dihadamkan. Soalnya, di medan pelaksanaan. Dapatkah ta’dib benar-benar boleh dioperasikan? Ini untuk menjawab kegalauan anak-anak kita dengan jenayah moral yang menyesakkan dada.
Jika bersuhbah dengan guru sepertinya incomptible dalam sistem yang mengukur kemenjadian berteras orientasi peperiksaan, justeru, perlu ada mekanisme lain. Contoh peranan ekstra korikulum atau pendidikan di luar dewan kuliah. Pelajar diwajib memasuki badan-badan persatuan pelajar dalam dan luar sekolah. Mereka dilatih sikap kepimpinan, bertanggungjawab dan ‘hands on’ daripada senior yang boleh bertindak sebagai pendidik tidak rasmi (informal educator). Pendidik ini adalah mentor teruji dan terbukti yang boleh memindahkan kesedaran dalam dhamir pelajar. Disiplin contohnya ”youth work” yang giat dibangunkan di negara-negara Komanwel. Ini menampung ekosistem perdana yang memberatkan orientasi intelek. Namun, seorang mentor atau mursyid itu perlu diuji dan dan diiktiraf terdahulu melalui merit khas.
Apalagi yang sesuai untuk menerapkan ta’dib ke dalam sistem perdana? Sepertinya sukar kerana lumba melumbai pencapaian peperiksaan mendahului segenap hela nafas. Aktiviti luar yang bertembung dengan korikulum, terbatal. Para pengajar mengejar mata kuliah dan kaedah menjawab di kertas peperiksaan untuk mendapat markah tinggi pelajar. Di situ ukuran putus kemenjadian pelajar. Kecaman ditimpakan kepada sekolah atau guru yang gagal menghadiahi nilai tinggi di kertas periksa. Skor watak dinilai sepi, tiada parameter tepat selain pemerhatian guru kelas.
Justeru, kami optimis peranan informal education center, contoh surau dan balai-balai masyarakat, orang tua dan guru yang berhikmah membimbing pelajar di luar sekolah.
Namun, ini hanyalah pandangan ringan seorang yang tidak ditaklifkan dalam merekayasa sistem pendidikan arus perdana. Mereka yang memegang kemudinya kini segeralah beri perhatian.
Idea Prof. Diraja Terpuji al-Attas sudah seharus diterapkan. Beliau yang kedua menerima gelar Prof. Diraja dengan tambahan Terpuji (Royal Laureate Professor) selepas 47 tahun Ungku Aziz sebagai penerima pertama pada 1978. Jika Pak Ungku ideanya tentang ekonomi diterima dan menjelma di arus perdana sebagai mithal Tabung Haji, ANGKASA, Prof. al-Attas juga seharusnya gagasan beliau mendapat pemartabatan yang sama. Penganugerahan gelar terhormat adalah pengiktirafan tertinggi negara yang tidak sekadar ceremonial, tetapi praktis untuk faedah rakyat awam.
Debat pendidikan untuk menangani ‘kemalangan’ dan jenayah moral anak-anak sekolah, wajar merenung gagasan pendidikan yang beliau tuangkan.
Ta’dib bukan sinthesis baharu, cuma terbenam dan terabai lama. Kesannya, membarah gejala ‘the loss of adab’ atau keruntuhan adab, menggejala ketirisan dan kezaliman.
Di peringkat universiti ia nampaknya diterapkan oleh ISTAC, CASIS. Di peringkat sekolah apa sikap pentadbir pendidikan? Aplikasikan pandangan Prof. Diraja Terpuji.