Dr. Jufitri bin Joha,
Pengerusi Benevolent Malaysia
5 Oktober 2024 / 2 Rabiulakhir 1446 H
Dewan Tuanku Canselor UPSI
Assalamu’alaikum. W.b.t.
Saudara saudari sekalian,
Alhamdulillah. Dirafakkan seluruh kehambaan dan kesyukuran kepada Allah telah menghimpunkan kita dalam majlis yang bererti ini.
Kesedaran bahawa wujudnya hampawa (vacuum) konsep wira (the concept of heroes) telah kami sedari ketika memimpin pertubuhan anak muda. Anak muda dibanjiri idola selebritis namun kering teladan dan
kemarau qudwah panutan. Anak muda tidak wajar disogok dengan watak adiwira yang dipenuhi sakti dan keramat. Tetapi sewajarnya tokoh yang telah teruji dan terbukti yang menyambung mata rantai risalah Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم untuk mencerdaskan serta memandaikan ummat agar
menjadi manusia merdeka, mandiri dan bebas daripada kesyirikan, perhambaan, kejahilan, penindasan dan kemiskinan.
Wira dan pemimpin itu jika dapat ditemui adalah daripada kalangan tokoh yang berbicara dengan lenggok bahasa mereka dan lahir di tengahtengah kemelut masyarakat sebagaimana yang diungkapkan oleh Pak Natsir, Perdana Menteri pertama Indonesia.Kami menemui Tan Sri Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba tokoh watan kelahiran Batu Kikir, Negeri Sembilan (meninggal 23 Oktober 1973) dan pernah bermukim dan bermudarasah di ranah Muallim ini adalah antara peribadi yang paling cocok, memenuhi syarat sebagai pendidik, pemuka intelektual, spiritualis, reformis, moralis untuk dinamakan sebagai wira
dan guru bangsa. Beliau adalah sarjana terpenting pada zamannya.Beliau adalah pemuka kepada para intelektual watan. Justeru syarahan ini membingkiskan pemikiran dan ketokohan sosok peribadi mulia ini
khusus buat tatapan generasi muda berjenama Z.
Istimewa hari ini kita merayakan Za’ba, bersama pemimpin tertinggi negara, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang hampir seluruh usia berada di denai pembaharuan (islah mastato’) persis Za’ba. Tumpuan keduanya
untuk menentang sistem yang bobrok dan rosak yang menghalang pertumbuhan kemajuan dan kemaraan yang baik-baik dan mulia-mulia.
Za’ba adalah Penggodam sosiobudaya, dengan izin “sociocultural hacker”. Tetapi, sosiobudaya bagaimana yang beliau mahu runtuhkan? Ialah amalan dan kepercayaan yang melekat pada i’tiqad yang serong
dan terpasung, serta sifat keperangaian bergantung kepada orang lain, bermalasan dan tidak percaya kepada hemat kemampuan diri sendiri.Beliau faham ianya adalah budaya terbenam (submeged culture dengan izin) yang payah untuk dipulihkan dalam tempoh singkat. Justeru, itulah tumpuan yang beliau berikan untuk seluruh usianya dengan kudrat keberanian yang ada.
Za’ba sebutkan sebagai ;
”Kita mesti berani menggodam mengetuk,
Meruntuh meroboh segala yang lapuk,
Memotong yang busuk, memangkas yang bengkok
Mengganti membaharui dengan yang elok,
Mengikut panduan sebenar-benar petunjuk
Timbang sendiri, tidak mengikut telunjuk”
Bersendirilah berkeledar, bekerja keras, berpayah-payah menunaikan yang fardhu ke atas diri dan ke atas ummat yang berhajatkan pembelaan.
Zaba mengambil pendekatan yang sangat fundemental kerana perubahan kepada pemikiran dan kepimpinan menurut Dr. Tariq al Suwaidan, adiguru kepimpinan dari Kuwait merupakan pra-syarat awal
perubahan utama kepada menangani permasalahan umat iaitu kemunduran, kebejatan akhlak dan produktiviti rendah.
Saudara saudari sekalian,
Syarahan ini kami bidani dengan izin ”purpose” iaitu matlamat dan ”passion” iaitu nyalarasa, bukanlah perayaan kosong yang dipenuhi senandung, tirakat dan romantisme bahawa mengangkat Za’ba sebagai
kenangan yang ‘ceremonial’, tetapi ianya adalah titik mula untuk menjagatkan wagas “Guru Bangsa” dengan membedah fikiran dan menyambung tali perjuangan mereka ini dalam pelbagai wacana, seminar
dan program latihan sehingga ke akar umbi.
Justeru itu kami mengharapkan sokongan daripada pelbagai pihak untuk menyusun mobilasi sosial turun ke bawah mengisi dada (meminjam istilah oleh Pak Ungku Aziz) anak-anak muda dengan perisian kemandirian Za’ba. Modul Sekolah Pemikiran Za’ba yang kami bidani ketika memimpin
Majlis Belia Malaysia akan diaktifkan semula dengan sokongann daripada pelbagai institusi untuk kita memindahkan nyalarasa Za’ba yang ketika mudanya telah tampil berteriak soal-soal besar seperti kejatuhan kaum muslimin, ketinggalan, kemalasan dan hari ini sempena mengenang seabad beliau berbicara mengenai tema kemiskinan. Anak muda jenama Z kini harus diisinya idealismenya kerana seperti kata PMX ”Muda bukan kerana umur tetapi kerana idealisme perjuangannnya”.
Malaysia Pemurah atau Benevolent Malaysia juga berbesar hati dan merakamkan setinggi terima kasih kepada YAB Dato’ Seri kerana sudi menurunkan Kata Pengantar untuk penerbitan ulang karya Za’ba yang
telah berusia 100 tahun ini.
Menariknya Ungku Aziz menyebutkan makalah tersebut “terlalu baik mutunya”. Ia bermula dengan rencana ‘A Civic Sense’ yang terbit sebelumnya telah memancing “seekor burung “rara avis” (sebutan
berbunyi raraives) (dalam bahasa latin merujuk kepada spesis yang sangat-sangat langka – jika tidak oleh umpan yang juga langka, ia tidak akan terjerat).
Burung langka berkenaan dirujuk sebagai Za’ba yang mana beliau membalas artikel berkenaan dengan dua buah artikel yang menerima pujian bersangatan daripada editor. Sehingga editor akhbar Malay Mail
menyatakan, saya petik;
“Buat pertama kalinya dalam sejarah Malay Mail, rencana pengarangnya ialah suatu hasil usaha daripada pena seorang Melayu dengan tidak ada sebarang perubahan” Rencana itulah yang kami di Malaysia Pemurah aka Benevolent Malaysia terbitkan semula dan boleh didapati di reruai di belakang.
Di kesempatan ini, besarlah harapan kami agar wagas ”Guru Bangsa” ini akan disambut dan dijalani untuk mengisi otak dan watak anak-anak muda kita gambaran yang bermakna tentang wira yang patut mengisi
pandangan sarwa mereka. “Jika kita tidak disibukkan dengan kebaikan, maka kita akan disibukkan dengan keburukan” Imam as Syafie
نفسك الذي ان لم تشغلها بالحق شغلتك بالباطل
Sekali lagi, terima kasih diucapkan kepada YAB Perdana Menteri yang telah memasukkan dalam jadual 6 bulan yang lepas untuk hadir ke acara ini.
Kepada pihak UPSI, melalui Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dan saf kepimpinan tertinggi UPSI yang telah memberikan sepenuh jiwa raga dan memudahcarakan program ini, kami amatlah menghargai. Saya secara peribadi menjadi saksi 4 mata atas kesungguhan Prof.
Terima kasih kepada YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir,Menteri Pendidikan Tinggi kerana sudi memilih acara ini untuk digandingkan dengan Hari Akademia Negara.
Terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak dan YB Tuan Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang turut sudi hadir.
Serta semua pihak khususnya rakan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Bank Simpanan Nasional (BSN), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pelbagai pihak yang
memberikan jalan, dokongan dan memudahkan dan percaya bahawa masih ada yang jujur bekerja untuk memberi khidmat kepada ummah dengan atau tanpa apa-apa imbalan. Semoga Allah mengganjari. Saya
tutup dengan ungkapan emas Za’ba,
“Berbuat baik ayuhai rakan. Kalau tidak dikenal insan. Ke dalam laut ia dicampakkan. Kalau tidak dikenal ikan. Tuhan tahu iakah bukan”.
Sekian.