Kritikan Pendidikan : Serba Serbi Kritikan Kepada Pendidikan Dan Pengkritik
Hanapi b. Jamaludin
Presiden Benevolent Malaysia
hanapidarwis@gmail.com
Soal kritikan tegar terhadap pendidikan tiada perlu dibukti untuk dilegitimasi. Kami menganut faham pendidikan insani. Pendidikan yang bebas daripada menjelma atau menciptakan tujuan tertinggi atau terutama melebihi keutamaan daripada segala segi untuk sanya menciptakan haywan ekonomi (economic animal) guna untuk memenuhi selera industri. Sumbatan segala matapelajaran dengan silibus yang tiada bertepatan atau bersabitan dengan pertumbuhan kognitif dan psikologi perkembangan anak-anak, sekolah seperti suasana kilang bukan alam keriangan yang kering gersang daripada tumbuh-tumbuhan dan pohon-pohonan yang rendang melebatkan dan membidankan buah-buahan yang boleh dimakan untuk subahagia warganya, orientasi peperiksaan yang menekan pencapaian IQ mengatasi dimensi SQ, kemenangan gajet dan kepintaran buatan atas sentuhan alami sebagai teknologi tertinggi pendidikan serta pelbagai lagi.
Lambakan ini menatijahkan sederetan kritikan keras pelbagai hala dan beberapa hasta. Memang, soal pendidikan diberat-beratkan. Ketika Paolo Freire (1921-1997) pemikir Brazil yang menggagaskan idea pendidikan untuk kaum tertindas, dalam karyanya Pedagogy of the Oppressed dan Education as the Practice of Freedom dibaca dan dibahaskan oleh sarjana pendidikan seluruh dunia sehingga rumusan-rumusan seperti democratization of the education (pendemokrasian pendidikan) dan pendidikan adalah hak kelahiran (birth right) dicapai. Pendita Za’ba telah mendahului mereka. Soal pendidikan diberikan perhatian oleh beliau bersangatan. Katanya :
“……Pelajaran hendaklah juga dijadikan ‘kalimah syahadah’ yang awal pertama sekali hendak dikirakan dan dilebihkan”
Dikiaskan bahawa, setiap orang yang dilahirkan untuk ‘sah’ bergelar manusia, hendaklah mereka diberikan pendidikan yang sempurna sejak awal kelahirannya. Pendidikan adalah “kalimah syahadah” kepada ummat manusia lebih-lebih lagi kaum muslimin.
Tidak hairan soal pendidikan mendapat bidikan tidak berputusan. Kita berlepas daripada mempertanyakan pemberat apa yang dipakai para pengkritik. Kerana tema pendidikan yang memang berpatutan diperberatkan. Namun, yang kita ragukan adapun sebilangan yang dinamakan pakar segala, reti semua, tetapi tiada nampak bergerak daripada sekadar bicara dan bicara dan ha ha ha.
Kami namakan kelompok ini sebagai ’perungut’ pendidikan.
Perungut pendidikan ramai. Itu salah, ini tidak benar. Arah kompas pendidikan mereka menurut sekolah pemikiran dianut. Kelompok yang dikritik daripada kalangan pentadbir pendididikan juga memakai faham yang sama dengan mereka, bahkan mungkin lebih lagi menjiwainya daripada sudut teori. Bezanya, mereka ahli praktis, bukan akademik terapung. Justeru, tidaklah sama yang melaksana dan yang hanya mencita-cita tetapi tiada berbuat apa-apa dengan kuatkuasa tangan mereka.
Kita pisahkan sikap terhadap ilmu dengan sikap terhadap tindakan. Walaupun kritikan itu benar bersegi empat bulat, setiap sudut memenuhi hak menjawab soalan terkait, tindakan menuding masalah dan menunggu kejadian-kejadian tertentu yang dapat dijadikan bola tanggung untuk merejam pelaku pendidikan tidaklah menyelesaikan.
Seorang pakar pendidikan seharusnya berkuasa demi kepakaran mereka itu menciptakan sistem pendidikan yang dapat menandingi sistem yg dianggap bengis atau cara yang dianggap telah reput atau sesat oleh orientasi Barat atau acuan pendidikan pro-industri yang menciptakan “economic animal” dalam pendidikan perdana.
Prof. Dr Hasni buktikan, tindakan adalah kritikan senyap. Kritikan benar, bukan melulu.
Beliau bangunkan Modul pendidikan Integrated Holistic Education System (IHES) dan memakainya dalam ‘sekolah pendidikan’ alternatif yg dibangunkan.. Beliau jelaskan ;
“(IHES) bukan ‘learning theory’, tapi ia ‘transform and reform learning theory to learning practice’, dari teori pembelajaran kepada amalan pembelajaran. Dua, kalau (pembelajaran) konvensional itu ‘teacher center and student center’, tapi kita ‘heart center’ dan akhirnya ‘God center’. Ketiga, sumber ilmunya beza, kalau konvensional itu, ‘cognitive pshycology, behavior pshycology, humanitic pshycology’, itu semua berasal dari manusia, tapi kalau di IHES itu dari Pencipta”.
Tan Sri Prof. Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, mengesan kepincangan dasar falsafah pendidikan yang beliau rumuskan dalam Persidangan Dunia Mengenai Pendidikan Islam di Jeddah pada tahun 1973, kelak menubuhkan ISTAC sebagai lembaga pendidikan yang ‘counter narrative’ pendidikan yang dikritik.
Adapun, sedikit kritikan atas kritikan para perungut dikalangan pakar tidaklah bermaksud, diamkan sahaja semua kesalahan para pentadbir pendidikan. Tetapi, tiadalah lain daripada sejalankan antara lisan dan tulisan dengan perbuatan. Tiada bantahan kepada benar salahnya isi kritikan itu. Bahkan kami, secara pertimbangan pengetahuan yang setampuk pinang dan fikiran yang sepicik ini mengabsahkan benarnya. Cuma meyakini dengan sesungguhnya hujung daripada segala kritikan ialah membangunkan cita sempurna yanag diidamkan.
Tidaklah terlalu utopia, seorang pakar segala tentang pendidikan menciptakan mimpi yang diimpi utk memperkaya pilihan hidangan pendidikan kita.
Asal sampai pada maksud menciptakan al-Insan al-Kulliy atau insan budiman, insan adabi atau universal man seperti gagasan para guru pendidikan kita yang sejati menemukan erti pendidikan dan membangunkannya di medan bakti.
Menunggu para perungut pendidikan negara datangkan modul pendidikan seperti IHES, sebanding atau mengatasinya. Terlalu banyak rungutan dan kerja ‘armchair’ oleh ‘pakar pendidikan’.
Tanpa tindakan, teguran untuk pendidikan hanyalah persembahan lisan.
“The great aim of education is not knowledge but action.” Herbert Spencer – Education.