THE ANXIOUS GENERATION

THE ANXIOUS GENERATION

Jufitri b. Joha

Pengerusi Benevolent Malaysia

jufitri1979@gmail.com

Sebagai seorang yang tertarik pada kajian mengenai generasi muda, saya telah menjumpai sebuah buku yang sangat memotivasikan yang dikarang oleh Jonathan Haidt dari New York. Pengalaman menemukan buku ini secara tidak disangka terjadi ketika saya sedang berada di Bandara Soekarno-Hatta untuk menghadiri perbincangan tentang isu negara Palestin di peringkat Asia Pasifik. Ia merupakan suatu momen yang menarik dapat menemukan buku ini kerana membuka peluang dan ruang untuk memahami lebih terperinci mengenai generasi muda dan perubahan yang sedang terjadi dalam masyarakat kontemporari kita.

Jonathan Haidt, seorang ahli psikologi sosial dan pengarang Amerika. Beliau ialah Profesor Kepimpinan Etika Thomas Cooley di New York University Stern School of Business. Bidang pengajian utamanya ialah psikologi moral dan emosi moral. Beliau juga dikenali sebagai penulis buku yang memikat berjudul “The Righteous Mind: Why Good People are Divided by Politics and Religion,” membawa pembaca mendapatkan refleksi mendalam tentang pergeseran budaya dan nilai-nilai yang terjadi, terutamanya sejak awal tahun 2010-an. Salah satu isi penting yang disoroti oleh Haidt adalah transformasi dari zaman kanak-kanak yang didasarkan melalui permainan fizikal ke arah dominasi kemajuan teknologi, terutama telefon pintar yang memberikan akibat buruk semasa perkembangan dan zaman membesar kanak-kanak.

Mengimbau kembali zaman dahulu, masa terluang kanak-kanak dipenuhi dengan permainan dan aktiviti luar rumah seperti galah panjang, batu seremban, konda-kondi, rounder dan banyak lagi permainan yang melibatkan banyak pergerakan tubuh badan dan interaksi sosial. Namun, seiring dengan kemajuan teknologi, permainan tradisional tersebut telah digantikan oleh permainan digital dan penggunaan peranti elektronik yang lebih meluas dan menyeronokkan. Haidt mengemukakan bahawa perubahan ini telah menyebabkan apa yang disebutkan sebagai ‘great rewiring of childhood’, iaitu perkembangan anak-anak tidak lagi terfokus pada interaksi fizikal dan sosial, tetapi lebih kepada interaksi dengan skrin dan layar digital.

Implikasi daripada pergeseran ini sangatlah besar. Kanak-kanak mengalami gangguan dalam perkembangan neurologi dan sosial, mengalami masalah tidur yang kronik atau insomnia, tekanan, mengalami tahap kemurungan yang tinggi di usia awal mereka dan terjebak dalam kitaran perfectionisme yang tidak sihat. Ini merupakan masalah yang tidak hanya mempengaruhi individu, tetapi juga mempengaruhi masyarakat secara keseluruhan.

Namun begitu, dalam menangani tentangan ini, Haidt juga menyelitkan sebuah harapan. Dia berpendapat bahawa kita perlu mengembalikan elemen-elemen kemanusiaan dalam proses perkembangan kanak-kanak. Salah satu solusi yang menarik adalah perkara yang disebut sebagai Youth-Adult-Child Partnership (YACP), yang baru-baru ini dikembangkan oleh Profesor Ismi Ismail dan IPSAS-Institute for Social Science Studies di UPM. Konsep ini menekankan pentingnya kerjasama antara tiga entiti: anak-anak, remaja, dan orang dewasa untuk membangunkan aspek kemampuan insaniah dan kemanusiaan pada anak-anak dan remaja.

Dengan demikian, kita dibentangkan dengan panggilan untuk mengubah paradigma tentang bagaimana kita mendidik dan membesarkan generasi muda. Kita perlu kembali kepada nilai-nilai dasar kehidupan manusia, mengutamakan interaksi fizikal dan sosial serta membina hubungan yang akrab dalam kelompok pelbagai usia. Hanya dengan cara ini kita dapat mengatasi cabaran dan rintangan yang dihadapi oleh anak-anak dan remaja dalam era digital ini di samping memastikan bahawa mereka membesar menjadi individu yang sihat secara fizikal, mental dan emosional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *