SEMBUH (HEALING) : TERAPI MEMBACA DALAM BUDAYA NUSANTARA

SEMBUH (HEALING) : TERAPI MEMBACA DALAM BUDAYA NUSANTARA

Muhamad Hanapi Bin Jamaludin

Presiden Benevolent Malaysia

hanapidarwis@gmail.com

Pendahuluan

Proses penyembuhan sesuatu gejala penyakit khususnya yang bukan berkaitan fizikal seperti kemurungan, tekanan, dukacita yang membawa sikap rentan dan pelbagai lagi sering menggunakan pendekatan terapi klinikal. Kaedah ini sebagai saranan perubatan moden yang berteraskan fakta-fakta saintifik dan empirik sudah menjadi pilihan sejagat yang diterima oleh bangsa dan kebudayaan berbeza. Ke-percayaan bahawa ilmu itu berteraskan nilai memberikan satu ufuk pilihan yang tidaklah asing sebenarnya tetapi sering diabaikan sebagai medium pelengkap untuk penyembuhan penyakit jiwa. Alam Melayu Nusantara turut mempunyai kearifan peribumi sendiri untuk menjawab persoalan ini. Pendekatan terpilih untuk ditinjau dalam makalah ini adalah tradisi membaca sebagai medium terapi atau istilah popularnya biblioterapi.

Bertolak daripada definisi terapi seperti ditarik keluar daripada Kamus Dewan ada-lah seperti berikut :

Rawatan sesuatu penyakit fizikal atau mental secara proses pemulihan tanpa penggunaan ubat atau pembedahan; ~ peker¬jaan aktiviti fizikal atau mental yang dilakukan untuk membantu merawat, memulihkan atau mengatasi masalah-masalah fizikal, emosi atau sosial yang dihadapi oleh seseorang. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Kita biasa mendengar istilah terapi sebagai suatu proses rawatan penyembuhan suatu masalah atau penyakit tertentu. Makna ini dikenakan dalam konteks persoa-lan yang dibangkitkan apakah melalui pendekatan membaca ia akan menjadi tera-pi untuk merawat jiwa dan raga manusia daripada ancaman dukacita, kehilangan dan ujian-ujian hidup yang sering dipergilirkan atas manusia.

Contohnya boleh diberikan. Kita dapat saksikan peribadi orang yang membaca dalam masyarakat Nusantara ini. Jiwa mereka seimbang, ukuran mereka saksama. Kejumudan tersiah keluar daripada mendekati mereka. Pemikiran binari yang menghitung warna dunia ini antara hitam dan putih sahaja terhindar. Segala apa juga yang terjadi kepada mereka adalah sebuah kebaktian. Terkurung mereka bebas, terngungsi mereka lepas. Ditakluk fikiran manusia sangat dipantang. Keaslian fikiran ditemui pada mereka.

Jendela Para Bukuwan Nusantara

Bung Hatta ketika dipenjara oleh Belanda atas tuduhan menentang kerajaan penja-jah berkenaan diberikan layanan yang layak sebagai seorang Negarawan. Polis dan tentera datang untuk membuat tangkapan dengan hormat. Beliau diberikan notis dan diberikan masa untuk mengemaskan barang-barang untuk dibawa. Perlahan-lahan beliau kumpulkan buku-bukunya untuk memberatkan tas melebihi pakaian. Kerana buku yang mengandungi ilmu adalah pakaian intelektual yang harusnya diberati. Kata beliau ‘“Aku rela dipenjara asalkan bersama buku, karena dengan buku aku bebas.” (Bung Hatta)

Orang mungkin sukar memahami bila itu dinilai secara harfi. Literalis sering akan terdinding oleh teks dan makna selapis. Bung Hatta anjurkan begini. Setiap buku-wan, mereka itu tidak akan terpasung dalam dinding gedung. Jasad mereka mungkin boleh tergalang oleh objek fizik, tetapi fikiran, jiwa, minda mereka tangkas men-gudara sejauh langit dan bumi terbentang. Membaca membekali sayap, terbang walaupun kaki dan badan terhalang.

Hal ini bertepatan dengan pesan yang sering juga penulis utarakan dalam beberapa forum berkaitan buku dan wacana-wacana ilmu. Jika belum mampu terbang jauh, bacalah buku. Ia menghadiahi sayap dan mata helang. Melihat padang sejauh pan-dang. Dunia sempit jadi luas terbentang.

Bung Hatta membuktikan. Daripada minatnya yang bersangatan terhadap mem-baca, beliau beroleh beberapa petunjuk perihal rupa negara Indonesia bagaimana yang harus dimerdekakan. Keazaman terhadap agama oleh asuhan keluarga yang berilmu, yang tentu sekali menggauli segala kitab dan buku tidak menghalang beliau meraikan kepelbagaian dan keragaman bangsa Indonesai yang bakal merdeka.

Tokoh tempatan tanah air kita juga ada menorehkan kisah tauladan untuk dikenang. Pendeta Za’ba pernah dinasihatkan agar berehat agak panjang. Mengambil udara segar dan melepaskan diri daripada beban tugas. Bukan sekadar oleh tugas beliau terkesan, tetapi tekanan penjajah. Jarum-jarum halus penjajah yang torture beliau, ditekan, dipindahkan, disekat gaji, dihalang daripada menulis tidak mematahkan semangat beliau. Ketika berkembara itu pulalah beliau mendapat kesembuhan, memecahkan sempadan yang tertembok, merajut silatu-rahim yang dikenal melalui pena dan tulisan. Beliau sempat mengunjungi Agus Sal-im, A.Hassan Bandung dan ramai tokoh lainnya di seberang.

Membaca sebagai bibilioterapi juga berkesan menyelamatkan jiwa daripada di-mangsakan oleh hingar bingar dunia politik yang penuh kelicikan. Za’ba, seorang yang mendedikasikan hayatnya sebagai seorang pembaca dan penulis tegar, mengungkapkan :

“…..Hati ayahanda tidak sekali-kali tertarik kepadanya dan kekuatan ayahanda tidak cukup mengerjakan tugas-tugasnya. Kalau tertonggok jadi Pengerusi sahaja tetapi tidak bekerja maka sangatlah ayahanda malu. Istimewa pula jika tidak menghasilkan buah-buah yang ayahanda inginkan, hanya bermesyuarat, bercakap, membuat heboh berjumpa Menteri ke sana ke mari, dan mengeluarkan kenyataan dalam suratkhabar!…..Ayahanda lebih suka bekerja diam-diam daripada bercakap dan membuat heboh atau bermegah-megah pada hal kosong dan tak sampai ke mana” (Adnan Nawang, 1994)

Membaca akan membawa diri tenggelam dalam keasyikan dan kelazatan ma-habbah pengetahuan. Getarnya sehingga membawa diri hanyut tanpa sedikit pun merasa terganggu oleh kebesaran dunia seperti permainan politik yang tiada kesu-dahannya.

Dr Burhanuddin al-Hilmi, tokoh tempatan yang berjasa besar. Walaupun sejarah seringkali mengadili kewibawaan seseorang berdasarkan garis kepolitikan, tetapi kaum pembaca sebagai kitalah yang harus menilai secara saksama. Al-Hilmi teta-plah seorang bukuwan yang hidup bergalang ujian, tetapi sikap tenang dan lapang dada sentiasa menghiasi. Beliau dikenal sebagai seorang pembaca buku yang tegar. “Today a reader, tomorrow a leader”. Demikianlah Margaret Fuller mengungkapkan kata-kata yang tepat terhadap tokoh-tokoh pemimpin hebat. Mereka cumalah ber-mula sebagai pembaca.

Al-Hilmi menghasilkan risalah kecil Perjuangan Kita (1946) dan Falsafah Kebang-saan Melayu (1951). Karangan ini muncul di tengah bersimpang siur bagaimana memaknai kebangsaan negara baru yang bakal muncul di ambang kemerdekaan. Beliau antara pemuda yang terlibat dan termasuk yang paling langka – menulis tentang rupa negara. Sekali lagi daya yang menonggak keperibadian beliau itu ada-lah membaca.

Pernah sesudah mahkota kemerdekaan berjaya direbut, beliau terbuang tidak didendang. Sejarah nampaknya tidak mengerti dan mengenali siapa pejuang siapa yang patut menyertai. Kerana sejarah itu dibutakan oleh para perekayasa (narra-tor), ada juga orang-orang yang hanya menjadi bandwagon atau pahlawan kesiangan yang turut mahu melompat masuk sama dalam hitungan pejuang walau-pun tidur semalaman. Al-Hilmi ketika kemerdekaan dianggap sebagai tokoh yang berada di garisan kiri, nama beliau seakan tenggelam beberapa lamanya sehinggalah sejarah kembali berani dibedah siasat. Apakah beliau kecewa, dukacita yang mem-bawa rajuk atau mencemuh – tidak bahkan terus berjiwa besar membina warga yang baru tercipta. Membaca adalah pintu masuk untuk kebesaran jiwa, terapi yang tidak perlukan doktor istimewa, cukup buku dibawa bersama dalam teman per-juangan.

Seorang lagi tokoh yang wajar dibicarakan ialah Tan Malaka. Dalam menghadapi kepayahan berjuang memerdekakan negara Indonesia, beliau hanya bersenaja-takan buku dan baca. Daripadanya terjelma keberanian dan keberahian semangat untuk membebaskan negara daripada perbudakan. Indonesia diasaskan oleh salah seorangnya adalah beliau sendiri.

Sedutan perjuangan tokoh ini menarik untuk diambil tauladan. Sisi polemik kontro-versi kepercayaannya itu kita hindari. Ibrahim Tan Malaka tokoh besar yang hidup dan matinya sangat misteri. 20 tahun dalam buangan di Eropah, China, Hong Kong, Fillipina, Singapura, beralih penjara ke penjara tidak langsung mematikan per-hatiannya melawan penjajahan.

Walau jasad didekam, fikiran tetap terbang meng-awan, dengan buku dan pena dia melawan imperialisme, kapitalisme, yang menganiaya kaum tani, orang kecil yang ditindas kaum pemodal.

Tulisannya telah memberikan saham mengenai rupa bagaimana negara Indonesia yang harus dimerdekakan itu. Pada tahun 1925 buku Naar de Republike Indonesia (Menuju Republik Indonesia) dan tahun 1926 Massa Actie (aksi Massa) terbit buah karyanya yang kelak menjadi panutan Bung Karno dan angkatan pejuang ke-merdekaan untuk melepaskan Hindia Timur Belanda menjadi negara berdaulat sendiri. Karya ini telah mempengaruhi jalan fikiran pendiri RI Bung Karno dan ramai tokoh bangsa sehingga lahirnya berbagai gerakan kemerdekaan.

Cuma tahun 1942 baru Tan Malaka pulang daripada buangan. Hidup dengan berbagai nama samaran. Harry Poeze menyenaraikan tidak kurang 20 nama sama-ran yang dipakai Tan Malaka sepanjang di tanah air. Hanya 13 hari sesudah Indo-nesia di proklamasi, Tan Malaka mengisytiharkan diri. Kesalnya beliau tidak dilibat-kan dalam peristiwa bersejarah besar itu di rakam dalam bukunya Dari Penjara ke Penjara :

“Rupanja sedjarah Proklamasi 17 Augustus tiada mengizinkan saja tjampur tangan ; hanja mengizinkan tjampur djiwa sadja. Ini sangat saja sesalkan! Tetapi sedjarah tiada mempedulikan penjesalan seseorang manusia” (Tan Malaka, 2000)

Kegeligaan Tan Malaka terletak pada kekuatan ingatannya. Beliau menghafal ka-rangan-karangan besar yang dibaca ketika dalam pembuangan. Dari situ di-tuangkannya dalam buku, disalin dengan penderitaan dan kesakitan yang terlihat pada wajah peribumi sendiri.

Berteman sejarah perjuangan tokoh, walau mungkin tidak satu pun boleh jadi kita setujui, cukuplah kita iktibari, menjadi orang hebat- harus tidak mati dengan ujian, penjara yang gelap, ancaman pelbagai muslihat bahkan peluru di kepala yang me-layangkan nyawa. Asalkan ada tinggalan buku dan buah pena ranum, nanti akan muncul suara yang lebih keras di balik kematian.

Membaca seorang tokoh membuka gerbang dibalik tabir siapa dan apa yang men-jadi bahan meramukan kemenjadian mereka. Latar keluarga, guru-guru, bahan bacaan, sosialisasi pendidikan, alam budaya. Ada lagi, jalan hidup, gelombang turun naik menempuh pengalaman yang dipilih, rakan juang dan lawan berunding, ketawa dan derita bersilih. Tidak mereka itu semerta muncul tanpa mehnah. Kesunyian rahsia itu tersurai bila kita membalik tirai yang menyelimuti mereka dengan mem-baca karya-karya berkait langsung dan tidak langsung mengenainya.

Kembali kita kepada membaca jugalah pintu masuknya.


Melihat Alam

Tradisi masyarakat Nusantara juga menyimpan pelbagai bentuk rawatan kebole-hdayaan menahan penyakit. Bukan kaedah meditasi yang cenderung mengalami penyelewengan. Membaca alam, merenung, mengamati kelakuannya itu pasti telah banyak dapat ditemui dalam karya-karya tradisional. Pantun-pantun, kias ibarat, perbilangan, petatah petitih buah karya para cendekia, cerdik pandai peribumi amat wajar direnung. Kedekatan dan keterikatan mereka terhadap alam dizahirkan bukan sekadar fizikal, merenangi dan membasahi diri menikmati keindahan dan kenyamanannya tetapi turut bertafakkur, merenung dan membaca ‘tanda-tanda’ yang tergantung di belahannya. Dalam pepatah kuno masyarakat Minangkabau ada disebutkan ;

Panakiak pisau sirauik,
Ambiak galah batang lintabuang,
Salodang ambiak ka nyiru.
Nan satitiek jadikan lauik,
Nan sakapa jadikan gunung
Alam takambang jadi guru.

Terjemahan :
Penakik pisau siraut,
Ambil galah batang lintabung,
Selodang jadikan nyiru.
Yang setitik jadikan laut,
Yang sekepal jadikan gunung,
Alam terkembang jadi guru.

Alam adalah al-Kitab al-Maftuh (Kitab terbentang) yang padanya mengandungi pelajaran dan tauladan yang patut direnung untuk memahamkan persoalan hidup yang muncul bergantian. Ketika kita diuji dengan suatu kepayahan, derita dan kesakitan yang membawa jiwa terlantar kegeringan. Kita pun lalu merenung ke da-lam alam danau dan sungai yang jernih. Merenung dan membaca bagaimana ikan Kelah dan Tengas yang hidup melawan arus, menentang derasnya air yang bertim-paan menderu daripada hulu. Menikmati dagingnya kita merasa kepuasan akan kemanisan rasa yang terdapat padanya. Tentu sekali itulah pelajaran yang dapat mendendangkan jiwa bahawa setiap kepayahan dan kesukaran itu bersamanya adalah kemanisan. Ditambah bahawa kita menghayati pesan Ilahiy melalui kalam-Nya yang suci.


Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(Ash-Syar-h 94:5)

Bahawa kita dibawa mengetahui pada setiap kepayahan ada kesenangan. Pada setiap kesenangan ada ingatan yang tiada putus dan kesyukuran terhadap Maha Pemberi. Semuanya dengan membaca kita dapati pedoman hidup tertinggi.

Apabila mata dilontarkan di padi sedang menguning, di lalang yang meninggi. Satunya berisi semakin ia menundukkan diri. Memang resmi orang berisi semakin penuh semakin tunduk, kerana semakin takut ia oleh pengetahuannya yang menc-erahi rahsia-rahsia Tuhan yang dulunya tersembunyi. Jangan seperti lalang, hilai ketawa dibawa ke tengah tepi, tetapi isi kosong sekali. Laksana juga tin kosong ber-bunyi amatlah nyaring bila disapa angin, sedangkan habuk pun tiada tersisa padan-ya. Semua pelajaran daripada alam ini terdapat pada masyarakat Nusantara, men-jadi ramuan yang memperkaya pedoman warganya sejak dahulu – sejak mereka bersahabat dan bercinta dengan alam. Semakin jauh matanya itu terpaku melihat aneka ragam pelajaran daripada alam, semakin terpana batinnya melihat Tuhan.

Namun, kita kesali bila mana alam yang tenteram itu mulai remuk dirempuh urban-isasi dan industrialisasi. Ketertiban dan keteraturannya digodam mesin dan jentera. Banyak sekali ‘tanda-tanda’ yang menjadi pedoman kepada manusia dibinasa-i. Kesannya, ia membawa bersama kuburan massa berbagai guru yang dahulunya setia memberikan pelajaran dan ketenangan. Di atas runtuhannya dibina batu bata yang katanya untuk membawa manusia menuju bahagia dengan kemudahan yang banyak, namun semuanya hampa. Manusia kehilangan bukan sahaja guru, mala-han doktor yang dapat merawat dan mententeramkan jiwa mereka. Sebagai terapi, alam Nusantara menyediakan rawatan percuma. Hanya merenung ke gigi air jernih yang berlarian daripada gunung sudah cukup merawata hati rentan untuk beberapa waktu yang kadang-kadang perubatan moden juga menemui jalan buntu.

Berbalik kepada kerosakan alam, kesannya juga meruntuh kota kata-kata. Im-plikasi kematian kosa kata/bahasa adalah kepunahan bangsa, runtuh peradaban, putus tali kebudayaan yang menyambung dengan perbendaharaan lamanya. Se-hingga masyarakat itu dipaksa membaca sejarahnya sendiri dengan perantaraan lisan dan fikiran kaum lain, kerana tidak lagi mengerti dan memahami bahasa yang mengatur lalu lintas fikiran leluhurnya dahulu. Bahasa yang berakar tumbuh da-ripada faham-faham yang beredar di perkelilingannya telah dirubah oleh hentakan daya tidak tertanggung daripada kebudayaan gergasi luar yang datang melanda. Menimbulkan rasa kekaguman melulu terhadapnya. Dia pun menjadi kerdil di herdik kebudayaan berkenaan jika berkeras tidak mahu lulur di telannya.

Jika mampu ia bertahan sekalipun, kolam bahasanya pasti akan dipenuhi sarap segala yang dihanyutkan oleh landaan kebudayaan luar berkenaan. Sedikit sebanyak lemas dan karam jua dipukul badai. Berganti dengan tumbuh-tumbuhan yang bungaannya tidak serasi dengan alam jasmaninya. Hiduplah dia terasing da-lam dunia fikiran yang mendarah daging daripada tubuh orang lain.

Satu-satunya pertahanan yang tinggal ialah seni-senian yang menjadi penghias pen-tas persembahan bila berbicara mengenai diri bangsanya, tanpa dapat lagi di-mengerti isi maksud setiap bait yang dia sendiri ikut mengujarkannya.

Kita katakan gejala ini sebagai turut menyumbang kepada masalah jiwa. Rasa ketidakyakinan diri, inferioty complex, mengutuk dan mencemuh segala yang milik sendiri dengan merasakan milik budaya lain itu lebih tinggi. Sikap ini menjerumus-kan kekacauan psikologi yang boleh menyumbangkan diri-diri menjadi separuh-separuh. Mahu hidup seperti orang putih, hidung tak mancung, pipi sahaja yang tersorong-sorong.

Kita kembali untuk melihat alam pada zaman edan ini. Apakah ia masih mem-berikan saham untuk terapi? Sudah tentu selagi keabadiannya masih bersemadi. Alam sebagai alamat kewujudan Pencipta. Sebesar masalah pun kita dihurungi, lihatlah dunia dengan pandangan merdeka. kita akan temui bahagia, kerana bahasa alam itu melambangkan kebebasan, ketenteraman, ketertiban dan keteraturan menurut sunnahnya.

Keseimbangan Membaca

Bagaimana harus kita ratakan kesedaran dan pendekatan terapi ini? Keluarga se-bagai nukleas terkecil memegang anak kuncinya. Mewujudkan sudut khas dan pel-bagai di rumah yang dipadati dengan bahan baca. Tidak kira dalam apa juga bi-dang. Akademik atau bukan akademik, santai atau popular, falsafah atau saintifik, agama dan sekular. Seluruh bahan bacaan ini akan membantu menyediakan per-tumbuhan jiwa yang kental, kuat, imun serta tentunya memiliki ketahanan untuk merawat kekusutan.

Kumpulan pendidikan dalam dunia persekolahan pula amatlah ditagihkan agar mereka terlebih dahulu memulakan keghairahan terhadap ilmu. Berkongsi dengan pelajar-pelajar tentang buku, mengupas idea-idea dalam dan luar waktu kelas, men-gisi masa waktu senggang dan lapang dengan membaca, melawan ‘pembawangan’ dan beberapa hal lain lagi.

Anak-anak turut dianjurkan untuk keluar daripada dunia gajetnya sahaja untuk memandang dan meneroka alam luas tak terhimbau. Pandangi dan renungi ia dengan pandangan kudus akan menjernihkan fikiran, membawa hening dan sukacita ke dalam diri. Membaca alam dan segala ragam riasnya adalah usaha untuk menyeimbangkan fakulti yang menakung ilmu, daripada intelek, fu’ad dan pancaindera. Alam membenarkan ketiga-tiga fakulti ini beroperasi secara bersama. Ghalibnya, dimensi manusia yang seimbang dapat dijelmakan oleh mereka yang terbuka pergaulannya dengan alam. Sedangkan jika hanya membaca sahaja se-bagai alat terapi tanpa digaulkan dengan alam dan anggota masyarakat yang be-rada dalamnya seseorang manusia akan keras dan boleh jadi hilang. Pesan Buya Hamka di bawah ini menarik untuk direnungkan ;

“Buku adalah sahabat karib, tetapi harus kita hati-hati. Mentang-mentang ber-sahabat karib dengan buku, janganlah diputuskan persahabatan dan pergaulan dengan manusia. Banyak ulat buku yang putus pertaliannya dengan manusia, han-ya fikirannya yang menerawang, tetapi beku bergaul.

Lidahnya beku, kerana buku! – Ajaib!”

(Hamka, 2008)

Kebanyakkan orang tergelincir daripada kelemahan sendiri kerana ketidakseim-bangan budaya membaca. Bukan semata suguhan bacaan pada lembar-lembar kertas bertembok seperti buku, daerah pembacaannya harus diluaskan kepada menatap gejala daripada alam luas yang membawakan manusia untuk berfikir tentang tanda-tanda kebesaran Tuhan. Dialah yang telah mencampakkan jiwa tenang tenteram, bersembunyi di balik dunia yang sering mengecewakan diri.

Penutup

Justeru, sekali lagi kita mengulang tanpa jemu bahawa membaca adalah rawatan malar segar untuk menghidupkan kudrat jiwa-jiwa yang terdampar. Bebaskan diri dengan buku. Layari dunia jauh ketika dunia di depan kita terdinding. Kaki terpasung, fikiran terpekung, badan terhimpit dada sempit. Keinginan meronta keluar, jasad dipaksa duduk diam. Manfaatkan masa berlalu, baca buku tambah ilmu. Baca alam tambah ketenteraman jiwa, kesegaran jasad dan minda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *