UNIVERSITI MASA DEPAN?

UNIVERSITI MASA DEPAN?
Muhamad Hanapi b. Jamaludin
Presiden Benevolent Malaysia
hanapidarwis@gmail.com

“Mahasiswa boleh hidup tanpa universiti.
Tetapi, universiti akan mati tanpa mahasiswa”

Tiada institusi buatan manusia yang sakral walau bagaimana tebal disepuh istilah spiritual. Apalagi kalimah dengan konsep yang datang sebagai produk budaya (muntaj thaqafi).

Universiti dengan kalimah asalnya berhulu daripada istilah Latin universitas yang bererti keseluruhan, universe, komuniti atau masyarakat atau perbadanan. Ia menghimpunkan komuniti atau masyarakat cerdik pandai, bereksperimen, beruji kaji untuk menyumbang kembali kepada dimensi-dimensi luhur masyarakat. Ini seperti definisi asalinya. Tidak selayak universiti bekerja seperti kilang untuk mencetak pemain industri melebihi daripada fungsi sebagai pengutuh manusiawi.

Bagaimana kini? Desakan pasaran terbuka (laissez faire) menghentam universiti untuk bersaing menyediakan produk yang dapat memenuhi selera industri. Ukuran ideal universiti terhadap sejauh mana graduan mereka mendapat tempat di pasaran ekonomi terbuka, kualiti akademikawan – mendapat rujukan dan sorotan ummat global. Tidak terlalu baharu, kualiti universiti dihitung daripada sejumlah simpanan rizab tunai yang bersumberkan jumlah mahasiswa yang mendaftar masuk, geran penyelidikan, kepercayaan dalam kerja perundingan dan perniagaan korporat lainnya.

Era ekonomi digital, AI, Chat GPT mencabar banyaknya peranan tradisional manusia. Universiti yang tadi telah dikenakan satu lagi beban berat untuk memastikan kelestarian kewangan telah jatuh ditimpa tangga sekali lagi dengan kemunculan teknologi digital. Ia membuka lembaran baru terhadap persaingan bentuk gajet yang tidak memerlukan premis fizikal untuk menakluk pasaran pengguna. Membanjir ‘mahasiswa’ berdaftar hanya dengan membuka akaun mereka menurut aplikasi yang dicita. Mereka adalah ‘mahasiswa digital’ yang menerima suduan pengetahuan, maklumat secara mampat, tanpa disekat. Kita tidak menghitungkan soal moral di sini terlebih dahulu. Tawaran ini jika tidak disaingi akan memintas universiti. Kita lihat kesannya telah ada sebelum pun muncul teknologi secanggih itu.

Laporan Utusan Malaysia pada 24 Mei 2021 menyatakan bahawa sebanyak 376 IPTS menghadapi keadaan kritikal berikutan penutupan premis akibat covid-19. Kesan ini merata dan memberi implikasi hiliran. Apabila universiti ditutup, pusat aktiviti pelajar, perkhidmatan pengangkutan, pusat asrama dan penginapan, pusat aktiviti dan perniagaan runcit, perkhidmatan cetak dan fotokopi serta banyak lagi akan tergendala, perlahan-lahan akan berhenti. Dengan kata lain, the university will grind to a halt. Takdir Allah memintas daripada situasi yang lebih buruk.

Kita kembali kepada premis yang telah disinggung mengenai parameter yang ditetapkan sebagai institusi yang berdaya tahan, satu daripadanya kemapanan kewangan. Perbincangan ini bukan sifatnya memihak secara moral. Ia adalah lalai (default), terbuka untuk dinilai.

Universiti telah diberikan makna sebagai institusi sosioekonomi yang perlu terlibat dalam untung rugi (dollar and cent in business). Justeru, tanpa boleh lari mereka terpaksa melangkah masuk kepada pertarungan kapitalisme kecil untuk memastikan kekal relevan dalam pasaran terbuka.

Universiti amat bergantung kepada mahasiswa sebagai warga pelanggannya. Pelaburan yuran masuk dan pulangan sijil sarjana dikembalikan kepada mahasiswa yang menyertainya. Kitaran ini menggerakkan universiti, menghidupkan motor operasinya yang ditunjangi kakitangan akademik dan pentadbiran yang perlukan upah kerja. Namun, bagaimana sekiranya tiada mahasiswa yang masuk tambahan seperti laporan bahawa Malaysia bakal kehilangan 70 peratus tenaga mahir dalam pasaran industri kesan seramai 458,000 orang calon lepasan SPM tidak berminat sambung pengajian seperti yang direkodkan sejak 2020. Suatu hal yang lebih patut digusarkan universiti daripada mengira ranking.

Universiti yang terperangkap dengan nostalgia ranking masih dalam kelabu. Dunia VUCA menuntut universiti secara mandatori mengubah citarasa pengajian menyahut desakan pasaran. Termasuk mencetak kemenjadian graduan berasaskan revolusi nilai. Memberi respon persoalan moral defisit, kelestarian bumi, daya tahan menghadapi masa depan ekstrem disamping pelan menangani masalah warisan global kemiskinan, kebuluran, kesenjangan kemajuan yang memuncak. Jika tidak universiti kita akan tercabar dengan mekanisme yang muncul menggantikan peranan tercicir daripada yang patut dimainkan mereka.

Bagaimana pula jika kampus akan mencakup hanya seluas hanya komputer riba? Terputuskah ilmu tanpa universiti? Bibitnya cuma bermula. Konfigurasi potret baru pendidikan mengeliat muncul.

Universiti boleh bangkit, tetapi budaya belajar dan mendapatkan pengetahuan di universiti jalanan sudah terbit bagi mengisi sejak tempoh pemulihan covid. Laman sawang terbuka, media-media baru dengan segala kemudahan mendapatkan pengetahuan dengan atau tidak berkaedah telah robek diteroka oleh para ‘pensyarah-pensyarah’ di medan baru. Mahasiswa dengan yuran percuma, hanya perlu sign in sudah memiliki personal autonomy seluasnya meneroka tembok yang mengunci universiti mereka.

Samada universiti berpagar akan kekal bertahan belum pasti. Cuma yang semakin pasti pelbagai macam inovasi telah berlangsung ditoreh di medan universiti baru – universiti lapangan yang tidak bertepi, tidak berpagar. Di medan maya atau alam raya yang tidak lagi mensyaratkan manusia diuji secara IQ, tetapi EQ dan SQ bersekali.
Semoga universiti dapat terus bertahan menghadapi keadaan masa depan tidak menentu (unpredictable future) ini. Dapat bangkit semula dan melengkapi diri dengan inovasi dan kreativiti yang lebih lagi.

Justeru itu, kepada para pentadbir perlu berani menyoal apakah perkara ranking masih perlu diberat-beratkan. Bagaimana keadaan jika universiti termasuk dalam ranking terbaik tetapi kita terlepas menjaring modal sumber daya manusia. Bukankah itu lebih bermasalah.

Baik kita telusuri bagaimana kaedah penarafan universiti dikira. Satu daripada badan berpengaruh dalam bidang tujah ini ialah Quacquarelli Symonds. Mereka menetapkan penilaian universiti terbaik ini berdasarkan matriks ;

Academic Reputation
Employer Reputation
Faculty/Student Ratio
Citations per faculty
International Faculty Ratio
International Student Ratio

Berdasarkan penilaian yang bercontoh ini dan senarai yang dikeluarkan hampir setiap tahun, universiti yang menempati bilangan 1-10 diboloti oleh daripada negara Anglo-Saxon, Anglo-American. Kita tidak akan pergi menjawab satu persatu the cauldron of capitalism (kawah besar kapitalisme) yang dideritai universiti ternama seperti Harvard dan yang menurut resepi yang sama. Universiti yang hanya melahirkan haywan-haywan ekonomi yang bengis. Walaupun terhitung dikalangan terbaik, namun kepada mereka jugalah masalah kemanusiaan semakin berjangkit.

Para pentadbir kita cuma perlukan kesanggupan moral untuk meletakkan jurang ukuran berbeza daripada mengejar ranking. Ranking hanya perlu menjadi motivasi tetapi bukan tujuan tertinggi. Tidaklah asing wibawa agensi penarafan berkenaan juga dinilai sejauh mana mereka benar-benar wibawa mengatasi yang lain. Pada tahun 2016 International Network of Research Management Societies (Inormis) mengambil langkah ke hadapan untuk membuat pengukuran terhadap agensi-agensi penarafan. Dalam kajian berkenaan, diletakkan empat syarat yang perlu ada untuk mengiktiraf sebarang agensi penarafan – urus tadbir yang baik, kaedah penyelidikan, ketelusan dan ia mengukur apa yang patut diukur. Kumpulan pakar ini mendapati tiada satu pun badan penarafan yang ada memenuhi 100 peratus keempat-empat kriteria tersebut.

Hal ini wajarlah menyedarkan, bahawa kita bukan perlu menurut telunjuk asal sahaja agensi berkenaan berjenama antarabangsa, berbahasa paling saintifik di dunia sehingga menyerah di bawah hegemoni mereka dan mengabaikan tujuan terasali insitusi ini. Misi asasi universiti daripada pandangan alam kita yang luhur jangan diberderaikan hanya kerana mengejar yang tiada wibawa moral.

Kecemerlangan universiti pada kemenjadian (outcome) graduannya dan faedah yang patut dilimpahi mereka kepada ukuran bukan benda (intangible) harus diberikan perhatian. Matriks baharu perlu disenaraikan dalam ukuran masa depan tidak menentu, mencabar dan ekstrem di hadapan. Skor nilai-nilai insani seperti hormat, adil, belas kasihan, nilai bukan benda seperti moraliti, integriti, kasih sayang, etika, mengimarah bumi dengan program kelestarian dapat membuahkan kehidupan yang manusiawi. Kita serahkan kepada para pakar untuk membangunkan instrumen untuk mengukur proses ini. Jika di sekolah telah ada komponen atau modul pendidikan Integrated Holistic Education System (IHES) ditaja pemain pendidikan alternatif, universiti harus miliki seumpama. Kemenjadian bukan ukuran industri, selain seberapa banyak taburan budi dan pekerti terpuji dipulangkan kembali kepada manusia, masyarakat dan alam.

Graduan yang cemerlang, menguasai dengan begitu dalam terselam segala disiplin pengetahuan semasa, teknologi digital, AI, Chat GPT. Atau teknologi dalaman (Deeptech), seperti AI (Cognitive AI, generative AI, VR & AR), Advanced Robotics (e.g. unmanned vehicles and drones), Advanced materials (sub nano particles), Biotech (e.g. MRNA, organoids), Medical tech (e.g. cancer treatments, IVF), Agritech (e.g. seeds), dan sebagainya. Mereka memerah pengetahuan baharu ini untuk tujuan memakmurkan bumi, melawan penindasan, perkauman, kemiskinan, ekstremisme agama serta berkongsi kesejahteraan kepada manusia. Bukan menambah lagi yang telah parah.

Pesan kepada Mahasiswa

Keputusan STPM telah sahaja dikeluarkan. Disebalik ramai yang memilih tidak mahu sambung belajar kerana telah percaya dengan universiti gajet (walaupun moralnya saya tidak bersetuju), namun masih lebih daripada separuh jumlah mereka itu yang berharap untuk dapat diterima masuk ke IPT. Jika takdir, terdaftar sebagai nama yang akan melangkah masuk ke menara universiti, demikianlah yang ingin kami sampaikan.

Pelajar yang mendaftar masuk universiti tahniah diucapkan. Masih boleh saudara-saudari berbangga menyertai daftar mahasiswa menara gading.

Dahulu, sebuah kampung berkenduri menyambut berita anak buminya diterima masuk ke universiti. Diraikan dengan jamuan tanda kesyukuran dan berbesar hati, disembelih lembu kerbau, dihimbau orang kampung, doa dan selamat, melepaskan anak kampung itu bertahunan di medan ilmu. Kenapa begitu? Harapan mereka tinggi, anak yang masuk nanti membawa denyut nadi dan suara hati mereka yang tidak tahu bagaimana hendak dirupakan. Mereka orang kecil, belum banyak kenal tulisan, belum ramai yang berpelajaran. Rintih payah menghadapi hidup, penderitaan, kemiskinan dan kefakiran mengelilingi mereka tidak tahu ke mana hala hendak disampaikan ke ribaan perhatian orang besar. Semoga anak yang keluar daripada menara gading itu mengerti, menjadi jurubicara mereka.

Namun, zaman kini bukan patut bernostalgia. Ratusan ribu yang masuk universiti disamping, ratusan ribu lagi yang memilih tidak mahu hatta memulai perlumbaan ke universiti, tiada lagi disambut dengan iringan kesyukuran. Ia telah jadi biasa-biasa sahaja malah tidak popular (memandangkan ramai tidak berminat sambung belajar). Kepada mereka yang terpilih disebalik ratusan ribu yang tercicir dan sekitar jumlah calon yang hampir sama terkandas, berapa pulalah yang benar-benar dapat memikul amanah ilmu, mencerah menerangi, memberi dan berkongsi, meneduh dan menaungi, membela hak kaum tertindas, berjuang melawan pembodohan, pembongsaian, membimbing, memimpin, meninggikan darjah masyarakat. Anda harus membuktikan bahawa, pilihan rakan-rakan yang menolak universiti adalah salah. Pendidikan itu sunnah berguru dengan jalan ta’dib. Tidak mungkin di gajet manusia adabi dapat diciptakan.

Jika tidak kaum universiti dalam kampus tunaikan tujuan luhur sebenar cita universiti itu, jangan kesal pilihan anda pula akan dibuktikan salah. Jika tampil nanti lebih ramai alumni-alumni daripada universiti kehidupan, yang bergraduasi di jalanan, belakang lorong, lapangan tidak berpagar dan berkampus, tidak pula berkuliah, tidak berkonvo, tidak berjubah, tidak melempar mortar dan melompat kehampaan di hari konvokesyen, atau universiti seluas gajet, tidak beryuran, tidak ‘berhutang’ bakal menggantikan peranan sebenar yang tidak diladeni siswa siswi kaum universiti sepatutnya.

Masuklah menjadi warga universiti yang harus mencetak pola masyarakat.

Tanpa sumbangan yang memberi impak, alternatif senario universiti masa depan yang telah kita bahaskan dalam tulisan ini muncul dengan lebih cepat tidak dapat kita elakkan. Suka atau tidak, meratapi atau tidak. Kemaraan teknologi tidak terbendung lagi. Seperti mana pondok meratapi universiti telah mengganti peranan mereka, universiti juga harus bersedia meratapi munculnya wajah baru ‘universiti masa depan’ jika mereka tiada bersedia melumbai kemaraan zaman ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *