KABILAH GLOBAL

KABILAH GLOBAL

Muhamad Hanapi b. Jamaludin

Presiden Benevolent Malaysia

hanapidarwis@gmail.com

Banyak laporan tentang China akan muncul sebagai gergasi baharu ekonomi dunia mengalahkan AS yang telah merajai takhta Polis Dunya hampir 200 tahun.
Antaranya rencana oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertajuk World Economic Outlook, October 2020: A Long and Difficult Ascent mengabsahkan bahawa China telah memintas Amerika Syarikat (AS) sebagai kuasa ekonomi nombor wahid dunia.
Semua negara-negara besar di dunia meletakkan visi masa depan mereka. Negara jiran, Indonesia menyasarkan tahun 2045 muncul sebagai kuasa ekonomi keempat terbesar dunia, Turkiye 2053 memberikan bayangan bahawa “aims to be a logistics superpower in the globe”. Manakala, China meletakkan pada tahun 2035 akan muncul sebagai pusat kekuasaan ekonomi terkuat dunia.
Lebih awal, serentak dengan keluarnya laporan IMF pada tahun 2020 berkenaan, China telah membawa keluar seramai 55.15 juta rakyat termiskin dan 832 daerah miskin keluar daripada belenggu kemiskinan. Ini boleh dirujuk dalam banyak tulisan dan laporan. Dipersilakan.
Hikmah itu barang yang kita cicirkan. Di mana sahaja kita menemui, kita lebih berhak ke atasnya. Kita belajar daripada mana-mana blok kebudayaan.
China adalah warisan budaya dan bangsa yang mengandungi cita-cita dan nilai khas sendiri. Sebagai salah sebuah warisan tamaddun besar dunia dengan tembok besar dan silih berganti dinasti kemaharajaannya, kebudayaan Cina meninggalkan pelajaran untuk direnung.
Kemasukan beramai-ramai imigran Cina di Tanah Melayu pada abad ke – 18 membawa bersama nilai-nilai anutan mereka. Satu daripadanya ialah semangat kepersatuanan. Organisasi bersifat warisan kebudayaan, bahasa, pendidikan dan kongsi gelap merupakan institusi yang lebih awal ditubuhkan sebelum parti-parti politik Cina di tanah air.
Persatuan Cina (Huatuan) berperanan sebagai jurucakap dan pengawal kepentingan orang Cina di mana sahaja mereka berada. Direkodkan oleh Victor Purcell (1977) seawal tahun 1825 terdapat pertubuhan-pertubuhan aktif bergerak atas nama kebajikan ; Ghee Hin, Nghee Hunge atau I Hing (kebajikan kemakmuran), Ho Seng (Penyempurnaan yang harmoni), Hai San (Laut dan bumi) dan Wah Sang (Kehidupan Cina).
Kehidupan berorganisasi (jemaah/persatuan) dilanjutkan dalam pelbagai jenama samada keluarga, keturunan, atau koloni ekonomi dan sosial. Paling berpengaruh ialah Dong Zhong dan Jiao Zong. Peranan Huatuan ini amat besar, malah lebih berpengaruh daripada parti-parti politik dan memiliki kekuatan majoriti orang Cina.
Joel Kopkin dalam bukunya Tribes: How Race, Religion and Identity Determine Success in the New Global Economy menghujahkan kemunculan ‘tribalism’ yang tidak dipengaruhi oleh sempadan sempit geopolitik yang memanfaatkan persamaan serumpun atau etnologi yang serupa untuk mempengaruhi perkembangan ekonomi global.
Beliau menyenaraikan “global tribes” yang berpengaruh besar ialah Inggeris, Yahudi, China, Jepun dan India. Kita perhatikan, Yahudi sebagai mithal dengan kekuatan jaringan senyap (silent networking) telah mempengaruhi dunia, menjadi ‘deep state’ kepada negara kuasa besar khususnya AS dan negara-negara Eropah sehingga berhasil mempengaruhi Parlimen British pada 1917.
Kes Cina lebih lagi dirujuk. Mereka mempunyai jaringan yang kuat dengan imigran dan perantau Cina daripada seluruh dunia. Gagasan ini disebut sebagai ‘bamboo network’ atau ‘Chinese Commonwealth’. Jaringan mereka dimanfaatkan untuk memperkuat hegemoni budaya dan kuasa mereka.
Hasilnya sehingga sekarang, penguasaan ekonomi global beredar dalam kabilah global yang besar-besar ini dan negara-negara yang mereka berasal atau membangun empayar. Asasnya ialah kesedaran memiliki sejarah dan nilai yang sama, motornya ialah dominasi ekonomi sebagai senjata. Ekonomi adalah domain penting utk mengangkat citra kabilah.
Persoalan, akankah kabilah Melayu/Malayonesia/Pascabima/JawiRaya/Nusantara atau apa sahaja nama dan jenama dapat diwujudkan untuk menghimpunkan warga dalam negara moden Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Patani, Selatan Fillipina dan Champa ini dapat dipersatukan? Faedahnya lebih hebat daripada bergantung kepada kuasa politik yang terjamin untuk kepentingan kumpulan bukan ummah.
Jalannya panjang, untuk membina empayar persatuan yang berkuasa menaungi ummat, ekonomi dan pendidikan (ilmu). Baharulah kita mahu berkira-kira mahu jadi kuasa ekonomi besar dunia yang lebih daripada kekuatan negara-negara. Contohnya bukan tiada, telah nyata di depan mata.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *